Oleh Azizan

Ipoh: Gandingan bidan terjun, Chan Peng Soon-Teo Kok Siang berjaya melakukan kejutan apabila menumpaskan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

V Shem-Wee Kiong yang berada di ranking ke-189 dunia dan masih segar dengan pingat gangsa Sukan Asia 2014 Incheon terpaksa akur apabila tumpas straight set 16-21, 19-21 kepada Peng Soon-Kok Siang.

Pakar beregu campuran, Peng Soon mampu berganding baik dengan Kok Siang yang sebelum ini terbabit dalam kemalangan jalan raya Januari lalu.

Lebih menarik Peng Soon turut berjaya memenangi acara beregu campuran ketika bergandingan dengan Ng Hui Lin apabila menumpaskan pilihan utama, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing 21-18, 19-21, 21-13 dalam tempoh 58 minit.

Hui Lin kemudian meraih gelaran kedua apabila berganding dengan Vivian Hoo mengatasi pilihan utama Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho 21-14, 21-15 dalam masa 35 minit.

Kejutan juga berlaku dalam acara perseorangan wanita apabila Ho Yen Mei menumpaskan pilihan utama kejohanan, Yang Li Lian dari Selangor. Yen Mei menang 23-21, 19-21, 21-12 dalam masa 54 minit.

Sementara itu, Liew Daren terpaksa mengerah segala keringat sebelum menjinakkan Goh Soon Huat pada perlawanan akhir perseorangan lelaki yang penuh dramatik.

Ketika kekalahan sudah di ambang mata, pemain perseorangan kedua negara itu yang mengalami prestasi ibarat yo-yo sejak kebelakangan ini, bangkit menafikan Soon Huat daripada mengutip mata kemenangan pada kedudukan 17-20 dalam set penentuan dan kemudian mengutip lima mata berturut-turut bagi meraih kejuaraan tempatan pertamanya.

Daren tumpas 17-21 pada set pertama tetapi bangkit dengan kemenangan 21-14 di set kedua untuk memaksa set penentuan.

"Dia berjaya memberi tentangan kepada saya tapi ketenangan saya pada hujung perlawanan membantu kejayaan ini. Saya dapat mengesan perasaan gemuruhnya hingga melakukan kesilapan di hujung perlawanan," kata Daren, pilihan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:02 AM