Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing tidak berdepan masalah mara ke pusingan undian utama Siri Super Hong Kong 2014 apabila cemerlang di pusingan kelayakan di Coliseum Hong Kong semalam.

Aik Quan-Pei Jing mempamerkan permainan cemerlang dalam kedua-dua perlawanan kelayakan apabila menumpaskan pasangan Taiwan, Huang Po Jui-Shuai Pei Ling 21-18, 21-10 dan gandingan Hong Kong, Yeung Shing Choi-Ng Wing Yung 21-9, 21-9.

Menanti mereka di pusingan pertama hari ini, pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan.

“Saya puas hati dengan aksi hari ini (semalam), lawan kami tidak terlalu kuat. Kami hanya fokus mata demi mata untuk menang,” kata pemain kelahiran Kuantan itu.

 Turut beraksi di pusingan pertama satu lagi beregu campuran, Chan Peng Soon-Ng Hui Lin yang akan bertemu pilihan ketiga dari England, Chris Adcock-Gabrille Adcock.

Sementara itu, Tan Boon Heong-Hoon Thien How turut layak ke pusingan pertama apabila memenangi saingan kelayakan semalam dengan menumpaskan rakan senegara, Lim Khim Wah-Ow Yao Han 21-10, 21-11. Sebelum itu mereka menang ke atas pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Chi Lin Wang 21-14, 21-13.

Boon Heong-Thien How akan bertemu pasangan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen-Kim Astrup Sorensen hari ini.

Pemain perseorangan wanita, Lydia Cheah turut melepasi pusingan kelayakan apabila menang 21-19, 15-21, 21-10 ke atas pemain Rusia, Evgenia Dimova dan wakil Taiwan, Cheng Chi Ya 21-18, 24-22 seterusnya menempah slot pusingan pertama menentang Chen Jiayuan hari ini.

Seorang lagi pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi akan berdepan dengan wakil Indonesia, Rusydina Antardayu Riodingin.

Wakil negara lain yang akan turun di pusingan pertama hari ini ialah Chong Wei Feng yang akan bertemu pemain China, Tian Houwei dan tiga pasangan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Lim Yin Loo-Lee Meng Yean, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:01 AM