SEKUMPULAN wanita Palestin memegang gambar anggota keluarga mereka yang ditahan di penjara Israel ketika mengadakan tunjuk perasaan di Ramallah, Tebing Barat,  mendesak pembebasan tahanan Palestin dari penjara di Israel.  - EPA

Baitulmaqdis: Israel semalam menegaskan tidak akan berunding dengan ratusan banduan Palestin pada hari kedua mogok lapar diketuai pemimpin popular yang juga dalam tahanan, Marwan Barghouti.

Lebih 1,000 tahanan Palestin di penjara Israel melancarkan mogok lapar kelmarin, dengan menyenaraikan pelbagai tuntutan termasuk perkhidmatan kesihatan lebih baik dan akses untuk menggunakan telefon.

Ketua hal ehwal banduan Pihak Berkuasa Palestin, Issa Qaraqe kelmarin berkata, kira-kira 1,300 golongan itu mogok lapar dan jumlah berkenaan mungkin meningkat.

Jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel berkata, kira-kira 1,100 banduan melancarkan mogok lapar itu dan dipercayai semuanya masih meneruskannya semalam.

Susulan itu, Menteri Ketenteraman Awam Gilad Erdan semalam menegaskan pihak berkuasa Israel tidak akan berunding dengan mereka sementara Marwan sudah dipindahkan ke penjara lain dan dikurung bersendirian kerana melancarkan mogok lapar melanggar peraturan penjara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:03 AM