KHADER memeluk anak perempuannya selepas dibebaskan dari penjara Israel di Tebing Barat, semalam.
KHADER memeluk anak perempuannya selepas dibebaskan dari penjara Israel di Tebing Barat, semalam.

Baitulmaqdis: Pihak berkuasa Israel membebaskan seorang tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar selama 56 hari ketika ditahan tanpa sebarang dakwaan.

“Khader Adnan yang berada dalam tahanan sudah dibebaskan,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Penjara Israel Sivan Weizman.

Khader, 37, ditahan selama setahun di bawah tahanan pentadbiran, yang membenarkan tahanan ditahan tanpa didakwa atau dibicara.

Mogok lapar yang dilancarkan Khader hampir meragut nyawanya sebelum dia menamatkan mogok lapar itu bulan lalu.

Tindakan Khader itu juga mencetuskan bantahan daripada kerajaan Palestin yang memberi amaran bahawa Israel akan bertanggungjawab terhadap nasib lelaki berkenaan.

Khader mengakhiri mogok lapar pada 28 Jun selepas Israel bersetuju untuk membebaskannya sebelum dia dipindahkan ke hospital.

Dia ditahan tahun lalu, tidak lama selepas kejadian penculikan dan pembunuhan tiga rakyat Israel yang menyebabkan ratusan penduduk Palestin di Tebing Barat ditangkap rejim Zionis.

Khader sebelum ini pernah melancarkan mogok lapar selama 66 hari pada 2012 kerana membantah penahanannya.

Sepanjang mogok itu dia hanya makan vitamin dan garam sebelum dibebaskan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 6:39 AM