Agensi

Baitulmaqdis: Parlimen Israel semalam meluluskan undang-undang menyuapkan makanan secara paksa kepada tahanan yang melancarkan mogok lapar walaupun langkah itu mendapat tentangan hebat pembangkang, persatuan perubatan dan kumpulan hak asasi manusia.

Undang-undang itu yang dicadangkan pakatan berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menggambarkan kebimbangan Israel mengenai mogok lapar dalam kalangan tahanan Palestin akan berakhir dengan kematian dan mencetuskan bantahan di Tebing Barat.

Persatuan perubatan Israel yang menganggap menyuap makanan secara paksa sebagai bentuk penyeksaan dan berisiko dari segi perubatan, mendesak doktor Israel supaya tidak mematuhi undang-undang itu.

Undang-undang berkenaan diluluskan dengan 46 anggota menyokong dan 40 menentang di Dewan yang mempunyai 120 kerusi itu.

Di Tebing Barat, Pengerusi Kelab Tahanan Palestin Qadoura Fares mengecam undang-undang berkenaan dengan menyifatkannya sebagai hasil daripada usaha rejim ‘rasis dan fasis.’

Menurutnya, Israel menggunakan undang-undang itu sebagai ‘pelindung’ untuk mendera tahanan dan membolehkannya membunuh lebih ramai tahanan Palestin yang mogok lapar.

Menurutnya, lima tahanan mati sebelum ini selepas diberi makan secara paksa di penjara Israel.

Pertubuhan hak asasi manusia Israel menganggap undang-undang itu memalukan.

“Ia memaksa komuniti perubatan mencabuli etika perubatan demi kepentingan politik, seperti yang dilakukan rejim jahat dalam sejarah sebelum ini,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel Gilad Erdan mempertahankan undang-undang berkenaan dengan berkata, ia cara menghalang warga Palestin yang dipenjarakan mengguna mogok lapar untuk mendesak rejim itu membebaskan mereka.

Jun lalu, Khader Adnan dari kumpulan Jihad Islam melancarkan mogok lapar selama 56 hari kerana menuntut penahanannya tanpa bicara ditamatkan.

Dia dibebaskan awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 6:44 AM