AKSI Harrif (tengah) ketika berlumba.
AKSI Harrif (tengah) ketika berlumba.
HARRIF (kanan) melayan pelanggan di kedainya.
HARRIF (kanan) melayan pelanggan di kedainya.
Saiful Affendy Sapran


Nama Mohd Harrif Saleh bukan asing lagi bagi peminat berbasikal di negara ini kerana dia sudah mengecap pelbagai kejayaan dalam acara berbasikal lebuh raya.

Henjutan bertenaga pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu terutama ketika menuju ke garisan penamat menjadi antara ‘trademark’ atlet berusia 29 tahun itu dan boleh disifatkan setaraf dengan pelumba antarabangsa.

Namun siapa sangka, atlet kelahiran Kuala Terengganu itu juga mempunyai bakat yang mungkin tidak ramai ketahui iaitu ‘lincah’ memasak di dapur.

Ya, kuali, senduk atau apa saja peralatan di dapur bukan asing bagi Harrif, sebaliknya ia satu rutin yang biasa untuknya sejak zaman remaja lagi.

“Dulu saya sering menjalani latihan atau menyertai kejohanan di luar negara. Jadi sepanjang tempoh itu, mahu tak mahu kena masak sendiri.

“Jadi saya ‘campaklah’ apa saja bahan asalkan boleh dimakan dan boleh diterima tekak.

“Bermula dari situ, rakan lain mula meminta saya memasak sebab mereka kata masakan saya sedap,” kata Harrif membuka bicara.

Bakat serta minat memasak yang dimilikinya mendorong Harrif untuk terfikir membuka sebuah kedai makan yang berkonsepkan masakan ikan bakar.

Maka dengan modal yang dikumpulnya, Harrif mengambil langkah berani untuk membuka kedai makan yang dinamakan Ikan Bakar H’sya terletak di bangunan kedai makan di Mayang Place, Kuala Terengganu.

“Saya mengeluarkan modal permulaan sekitar RM30,000. Bermula dari detik itulah saya buka kedai makanan ini hampir tiga bulan lalu.

“Kedai makanan ini berkonsepkan ikan bakar. Jadi apa saja jenis ikan yang pelanggan mahukan, kami akan cuba memenuhi permintaan mereka.

“Kedai saya ini dibuka bermula jam 11 pagi hingga 12 malam,” katanya.

Mengakui tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada perniagaannya itu, Harrif bagaimanapun berkata, keluarga serta isterinya, Nursyahira Nordin menjadi tulang belakang kepada operasi kedai berkenaan.

“Memang saya tak dapat beri fokus sepenuhnya ketika ini kerana saya pun masih aktif dalam sukan berbasikal.

“Jadi bila saya menyertai kejohanan, isteri dan keluarga banyak membantu saya. Setakat ini tiada sebarang masalah dan mereka juga faham mengenai karier saya.

“Saya juga menggaji empat atlet berbasikal. Tujuan saya sekurang-kurangnya dapat membantu mereka meraih pendapatan tambahan.

“Apapun bila saya tak terbabit dengan sebarang latihan atau kejohanan, memang saya akan turut membantu memasak sebab saya memang minat berniaga dan memasak. Jadi keinginan untuk membantu di dapur itu memang satu perkara yang biasa,” katanya.

Harrif berkata, dengan berniaga, dia dapat melupakan seketika tekanan yang dihadapi sebagai seorang atlet.

“Saya jadi seronok sebab setiap hari saya akan bertemu pelanggan baru. Ada juga pelanggan yang mengenali saya.

“Dapat melayan setiap pelanggan dengan baik itulah kepuasan yang saya tak dapat lupakan,” ujarnya.

Harrif berharap perniagaan ikan bakar miliknya itu akan terus maju sekali gus mendorongnya untuk lebih serius selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 10:50 AM