KHAIRY (tengah) menerima  penajaan Sukan Sea dan Sukan Para Asean dari Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza SM Nasaruddin SM Nasimuddin (kanan), semalam.
KHAIRY (tengah) menerima penajaan Sukan Sea dan Sukan Para Asean dari Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza SM Nasaruddin SM Nasimuddin (kanan), semalam.

Putrajaya: Tiada alasan buat atlet negara ke Olimpik Rio menjadi pelancong sukan apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu mereka sekurang-kurangnya mencapai catatan peribadi terbaik atau memperbaharui rekod kebangsaan.

Khairy berkata, walaupun kontinjen negara menghantar seramai 32 atlet namun tidak semua diletakkan sasaran untuk meraih pingat dan mencapai kedudukan podium.

“Jadi mereka yang tidak diletakkan sasaran pingat harus mempamerkan prestasi terbaik, sekurang-kurangnya mencapai catatan peribadi terbaik atau memperbaharui rekod kebangsaan.

“Contohnya, olahraga (wild-card untuk kategori wanita) yang ke sana perlu mempamerkan aksi terbaik dalam kerjaya mereka. Saya tidak mahu ada yang menjadi pelancong sukan,” katanya.

Seramai 32 atlet negara layak ke Olimpik Rio bulan depan menerusi kategori merit, kuota serantau dan wildcard.

Malaysia masih mencari pingat emas pertama di pentas Olimpik dengan Khairy menyasarkan tiga jenis sukan iaitu badminton, terjun dan berbasikal trek dapat memenuhi potensi yang diharapkan.

“Saya percaya jika Datuk Lee Chong Wei, Pandelela Rinong dan Azizulhasni Awang dapat memenuhi potensi masing-masing, kita akan meraih pingat emas pertama.

“Begitu juga gandingan badminton jika mereka mampu melakarkan kejutan dan skuad memanah yang turut berpeluang meraih pingat.”

Pada edisi 2012 di London, Malaysia meraih pingat perak menerusi Chong Wei dan gangsa menerusi Pandelela.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 6:12 AM