AZLAN (berdiri) melayan pelanggan di kedainya.
AZLAN (berdiri) melayan pelanggan di kedainya.

Melihat aksi agresif Azlan Shah Kamaruzaman di litar, pasti tiada siapa menyangka pelumba berpengalaman negara itu mempunyai sisi lain cukup berbeza dalam kehidupannya.

Bekas pelumba Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu bukan saja hebat di litar, tetapi juga lincah memasak di dapur yang sekali gus menjadi pendorong semangat kepadanya untuk membuka gerai makanan.

Terletak di Gombak, Selangor, gerai makanan milik Azlan yang diberi nama Santai Brooo itu sudah beroperasi kira-kira enam bulan dan sambutan diterima sangat menggalakkan.

“Sebenarnya saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk berniaga.

“Semangat untuk membuka kedai makanan ini didorong rakan yang terlebih dulu menceburi perniagaan ini.

“Bermula dari situ, saya mula fikir beberapa perkara seperti konsep kedai serta jenis menu yang hendak dijual,” katanya memulakan cerita.

Jelas Azlan, sebelum satu-satunya menu makanan atau minuman itu dijual di kedainya, dia serta isterinya Nabila Naseem Akhtar akan melakukan ‘uji kaji’ di rumah terlebih dulu.

“Contohnya seperti menu utama iaitu ayam penyet, saya dan isteri cuba berkali-kali di rumah sebelum yakin rasanya benar-benar sedap.

“Begitu juga dengan menu makanan lain. Bagi saya, kami perlu memastikan setiap menu yang dihidangkan memberi kepuasan kepada pelanggan,” katanya.

Tidak seperti gerai makanan biasa, Santai Brooo mempunyai konsep berbeza dengan tujuan utama untuk memberi keselesaan kepada pelanggan.

“Kami sediakan beberapa permainan kepada pelanggan. Bermakna selain hadir untuk makan, mereka juga boleh melakukan aktiviti santai,” katanya yang kini beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bersama pasukan BikeART Racing Kawasaki.

Jelas Azlan, meskipun dia mempunyai beberapa kakitangan untuk melancarkan operasi gerai makanannya itu, namun kadang-kala dia juga turun ‘beraksi’ di dapur.

“Ada jugalah ke dapur, tapi tidak terlalu kerap. Kadang-kadang saya penuhi permintaan pelanggan yang mahu saya sendiri memasak menu kegemaran mereka.

“Jenis pelanggan berbeza. Ada daripada kumpulan pelajar kerana gerai saya berhampiran dengan UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Ada juga peminat yang hadir semata-mata hendak bertemu saya,” katanya.

Baginya, dengan membuka gerai makanan, dapat melupakan seketika karier hakikinya selaku pelumba.

“Sebagai pelumba profesional, sudah tentu tekanan itu sentiasa ada.

“Tapi rasa tekanan itu dapat dikurangkan apabila saya hadir di kedai membantu pekerja melayan pelanggan.

“Pendek kata, bila berada di sini, saya boleh lupakan seketika segala perkara di litar.

“Lagipun berniaga sememangnya menyeronokkan jika kita benar-benar minat.

“Saya harap dapat bertahan lama kerana saya melihat masa depan yang cerah daripada perniagaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 6:59 AM