Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Sebagaimana kita tahu, drama atau filem bukan sekadar untuk menghiburkan, tetapi pada masa sama turut berpe­ranan sebagai wadah bagi mendidik dan menyebarkan pengajaran berguna kepada masyarakat.

Ini bukan perkara baru kerana seawal era filem hitam putih pada 1950-an, genre sebegini sudah ada.

Biarpun penerbit dan pengarahnya bukan Islam, mereka tetap menghormati agama berkenaan.

Sehubungan itu, sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, RAP mengimbas kembali filem bergenre Islamik yang dihasilkan pembikin filem di Malaysia

dan Indonesia.

* Iman (1954)

Dalam industri filem tempatan, Iman arahan KRS Sastry pada 1954 antara filem Islamik pertama diterbitkan.

Filem terbitan Run Run Shaw dan Malay Film Productions lakonan Datuk Ahmad Mahmud, Datin Saadiah, Haji Mahadi, Mariani, Aziz Sattar, Neng Yatimah, Malek Sutan Muda, Mustarjo dan A Rahim mengisahkan mengenai persoalan sejauh mana kepercayaan manusia terhadap Tuhan dan sejauh mana manusia tunduk kepada Iblis.

* Isi Neraka (1956)

Pada tahun yang sama, muncul filem Isi Neraka arahan Datuk Jamil Sulong de­ngan menampilkan barisan pelakon seperti Salleh Kamil, Haji Mahadi, Saadiah, Ahmad Mahmud, Rahmah Rahmat, S Kadarisman, A Rahim, M Zain dan Fatimah Ahmad.

Ceritanya berkisarkan perkembangan agama Islam yang mula dibawa ke Melaka pada abad ke-14. Seorang pendakwah dari Arab bernama Sidi Abdul Aziz berusaha menyebarkan ajaran Islam yang kemudiannya diterima sebagai agama baru di Melaka oleh Sultan.

* Tsu Feh Sofiah (1985)

Era 1980-an pula me­nyaksikan kemunculan filem Tsu Feh Sofiah arahan Datuk Rahim Razali.

Selain Rahim sendiri, filem ini turut menampilkan Jacqueline Mitchell, Eman Manan dan ramai lagi.

Filem ini mengisahkan doktor berketurunan Cina, Tsu Feh memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sofiah.

Selepas membuka klinik, dia bercuti ke sebuah pulau yang jauh dari keriuhan.

Namun dia sangat kecewa kerana kedamaian yang dimahukan di pulau itu seakan-akan tidak wujud apabila penduduknya sering bertelagah sesama sendiri. Lebih malang lagi, pertelagahan itu membabitkan penduduk beragama islam.

* Semerah Padi (1956)

Ia disusuli oleh Semerah Padi arahan Tan Sri P Ramlee pada 1956. Selain beliau sendiri, filem ini turut membariskan pelakon Nordin Ahmad, Saadiah, Daeng Idris, Saleh Kamil, Normadiah dan A Rahim.

Semerah Padi mengetengahkan hukum Islam berdasarkan al-Quran melalui penceritaannya.

Latar belakang filem ini berkonsepkan kehidupan masyarakat Melayu tradisional serta mempunyai pemahaman agama yang tinggi.

Filem lain yang diterbitkan ialah Noor Islam pada 1960. Filem arahan K M Basker ini membariskan pelakon terdiri daripada Nordin Ahmad, Salmah Ahmad, Siput Sarawak, Mah­mud June, Shariff Medan dan Mat Sentol.

Kisahnya mengenai sebuah kerajaan bukan Islam di mana kebanyakan rakyatnya termasuk raja dan menteri menyembah patung berhala.

Walaubagaimanapun, ada sebilangan kecil rakyat negeri itu yang beragama Islam dan kegiatan mereka berjalan secara sembunyi.

Akhirnya Puteri Raja sendiri memeluk Islam kerana dayang-dayang yang menjaganya beragama Islam.

Dalam pada agama Islam berkembang sedikit demi sedikit, menteri dalam kerajaan itu tetap memegang teguh terhadap agama yang mereka anuti sehingga sanggup membuat tipu helah.

Mereka mengupah dayang-dayang untuk menyamar di sebalik patung-patung berhala supaya rakyat percaya patung itu boleh berkuasa dan berkata-kata.

Akhirnya niat jahat menteri itu terbongkar dengan kerjasama Puteri Raja itu sendiri. Maka semua rakyat negeri itu pun mengubah kepercayaan mereka kepada Allah dan agama Islam.

* Era millenium

Ketika era filem Melayu mengalami musim suram, muncul filem Syukur 21 terbitan Metrowealth Movies Production milik David Teo pada filem 2000.

Filem arahan Eddie Pak ini menampilkan kumpulan Raihan yang begitu terkenal ketika itu.

Walaupun dilabel sebagai antara filem yang gagal, tetapi Syukur 21 tetap diingati dengan pembaharuan yang dibawakan.

Berikutnya, penghasilan filem genre Islamik terus ditampilkan oleh Metrowealth Movies Production menerusi filem 7 Petala Cinta arahan Azhari Zain pada 2012 dan Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang arahan Pierre Andre pada 2013.

Filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang yang menampilkan penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI) berjaya mendapat sambutan yang hebat dalam usaha menarik golongan muda untuk menonton filem dakwah itu.

* Pembikin filem Indonesia gigih hasil filem Islamik

Genre filem Islamik Di Bawah Lindungan Kaabah arahan Asrul Sani pada 1978 yang diadaptasi daripada novel agung Profesor Hamka diangkat sebagai karya besar dalam kalangan peminat filem di Indonesia.

Bermula pada era millenium, pembikin filem di negara itu konsisten menghasilkan filem Islamik antaranya Ayat-Ayat Cinta (2008) dan Ketika Cinta Bertasbih (2009) yang di adaptasi daripada novel popular Habiburrahman.

Filem lain yang diterbitkan ialah Sang Murabi, Dalam Mihrab Cinta, Hafalan Solat Delisha Sang Pencerah, Mengaku Rasul, Perempuan Berkalong Sorban, Kiamat Sudah Dekat, Laskar Pelangi, Syahadat Cinta dan 3 Doa 3 Cinta.

Terbaru ialah Haji Backpacker arahan Danial Rifki yang menampilkan pelakon seperti Abimana Aryasatya, Dewi Sandra, Laudya Cynthia Bella, Laura Basuki, Pipik Dian Irawati, Ray Sahetapy, Dion Wiyoko dan Kenes Andari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:02 AM