Syamsul tidak sangka Munafik mampu pergi jauh. FOTO Cinema.com.my
Syamsul tidak sangka Munafik mampu pergi jauh. FOTO Cinema.com.my
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Filem Munafik mencatat rekod filem Melayu paling laris apabila mencecah kutipan RM17 juta dalam tempoh 26 hari ditayangkan.

Filem arahan Syamsul Yusof itu berjaya mengatasi filem Polis Evo yang meraih kutipan sama dalam tempoh 42 hari.

"Saya tidak menyangka filem ini boleh pergi sejauh ini. Mulanya saya hanya berharap ia balik modal dan tidak rugi. Namun, melihatkan sambutan diberikan saya percaya penonton filem Melayu sudah boleh menerima genre baru.

"Jauh di sudut hati saya ingin melihat filem Islamik dakwah dilihat sebagai filem berjaya di Malaysia seperti filem lain," katanya kepada Harian Metro.

Filem bergenre seram Islamik itu turut mencatat rekod filem Melayu paling laris di dua negara, Singapura dan Brunei.

Menurut Syamsul, filem itu dilanjutkan tempoh tayangan kepada dua minggu membabitkan 120 pawagam di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 7:21 PM