ONE Two Jaga ungguli FFM30. FOTO NSTP
ONE Two Jaga ungguli FFM30. FOTO NSTP
Amirul Haswendy Ashari


FILEM bergenre drama penyiasatan dan kepolisan, One Two Jaga arahan Nam Ron diumum sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30) yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Filem terbitan Pixel Play Entertainment itu bukan hanya merangkul trofi Filem Terbaik FFM30, malah membawa pulang trofi kategori utama iaitu Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Rosdeen Suboh, Pengarah Terbaik (Nam Ron) dan Lakon Layar Terbaik (Mari Rohaiyat, Fared Ayam dan Nam Ron).

Filem itu juga membawa pulang trofi Cerita Asal Terbaik (Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Nam Ron) dan Poster Terbaik (Jazzy Pictures).

Bersaing dengan empat filem hebat iaitu Dukun, Paskal The Movie, Vedigundu Passange dan Guang, filem arahan Namron itu mengangkat kisah sisi gelap dunia kepolisan mengenai segelintir anggota terbabit dalam gejala rasuah dan jenayah.

Trofi anugerah utama itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang turut merasmikan malam kemuncak festival terbabit.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Samsuni Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Menepati ramalan awal lakonan berkesan Datin Seri Umie Aida menerusi filem Dukun melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Umie pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2018 pada November tahun lalu.

Kehebatan lakonan Nabila Huda dalam filem Makrifat Cinta arahan Kamal G pula dipilih sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Hasnul Rahmat pula penerima Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui filem Polis Evo 2.

Trofi Pelakon Lelaki Harapan menjadi milik Kyo Chen menerusi filem Guang dan Pelakon Wanita Harapan pula dimenangi Jaya Ganason menerusi filem Tamil berjudul The Farm En Veettu Thottathil.

Eng Wei Jie dipilih sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi filem Rise Of The Legend: Lee Chong Wei.

FFM30 turut mengiktiraf tiga filem iaitu Paskal The Movie, Busker dan Vedigundu Pasangge bagi Anugerah Khas Juri.

Dalam pada itu, Seniman A R Badul mendapat penghormatan sebagai penerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman.

Bertemakan Inspirasi Sinemaku, FFM30 menyaksikan 42 filem bertanding untuk merebut 27 kategori termasuk tiga anugerah khas.

Daripada 42 karya yang bertanding, 25 daripadanya adalah filem berbahasa Malaysia, Mandarin (lapan), Tamil (tujuh) dan Kantonis (dua).

Malam kemuncak FFM30 diacarakan Nabil Ahmad dan Adibah Noor serta disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD.

Ia turut diserikan dengan persembahan artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah, Datin Alyah, Jaclyn Victor, Ernie Zakri, Hafiz Suip, Sophia Liana, Zizi Kirana, Syamel, Billy Zulkarnain dan Innuendo.

Berikut adalah senarai penuh pemenang FFM30:

* Filem Terbaik: One Two Jaga (Pixel Play Entertainment)

* Pengarah Terbaik: Namron (One Two Jaga)

* Pelakon Lelaki Terbaik: Rosdeen Suboh (One Two Jaga)

* Pelakon Wanita Terbaik: Datin Seri Umie Aida (Dukun)

* Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Hasnul Rahmat (Polis Evo 2)

* Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Nabila Huda (Makrifat Cinta)

* Pengarah Harapan: Quek Shio Chuan (Guang)

* Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Eng Wei Jie (Rise Of The Legend: Lee Chong Wei)

* Pelakon Wanita Harapan: Jaya Ganason (The Farm En Veettu Thottathil)

* Pelakon Lelaki Harapan: Kyo Chen (Guang)

* Anugerah Khas Juri 1: Paskal The Movie (Asia Tropical Films Sdn Bhd)

* Anugerah Khas Juri 2: Vedigundu Pasangge (Veedu Production Sdn Bhd)

* Anugerah Khas Juri 3: Busker (Astro Shaw Sdn Bhd)

* Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman: Seniman AR Badul

* Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Habsah Hassan

* Filem Box Office: Munafik 2 (Skop Productions Sdn Bhd) dengan kutipan RM37,797,423.00

* Lakon Layar Terbaik: Amri Rohaiyat, Fared Ayam & Namron (One Two Jaga)

* Sinematografi Terbaik: Yeong Tuck Wei (Guang)

* Cerita Asal Terbaik: Pitt Haniff, Muhammad Syafiq & Namron (One Two Jaga)

* Kostum & Busana Terbaik: Andy Sulaiman (Dukun)

* Penataan Bunyi Terbaik: Imaginex Studio Sdn Bhd (Pulang)

* Penataan Seni Terbaik: Chan Hsien Yu (Guang)

* Kesan Khas Terbaik: Pixelpost (Dukun)

* Penyunting Terbaik: Raja Affandi Raja Jamaludin (Dukun)

* Skor Muzik Asal Terbaik: Nick Davis (Two Sisters)

* Poster Terbaik: Jazzy Pictures (One Two Jaga)

* Lagu Tema Terbaik: Atma Jiwa, Monoloque (Busker)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 12:44 AM