IMBAS kembali karya arahan dan lakonan Seniman Agung.
IMBAS kembali karya arahan dan lakonan Seniman Agung.
Roslen Fadzil


Biar musim bertukar ganti, karya dan nama beliau tetap hijau di ingatan kita. Begitulah yang sering diperkatakan mengenai Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee atau nama asalnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh bersama hasil ilhamnya.

Sempena ulang tahun kelahiran P Ramlee pada 22 Mac ini, BLING! mengimbas kembali 10 filem terhebat lakonan mahupun arahan beliau yang tidak pernah jemu ditonton sampai kini.

1. Panggilan Pulau (1954)

Ini antara filem Melayu klasik bercorak pengembaraan yang menarik lakonan P Ramlee, Normadiah, Latifah Omar dan Yusof Latiff. Berkisar mengenai seorang penjaga kuda yang berazam mengubah taraf hidupnya kerana dihina golongan berada.

Dia akhirnya menjadi kelasi kapal dan berjaya menjumpai harta karun yang tersorok di Pulau Kazambo. Lagu evergreen daripada filem ini termasuk Bulan Dan Juga Angin, Dengarlah Gemala Hati dan Mengapa Pilu Saja.

2. Hang Tuah (1956)

Arahan Phani Majumdar, Hang Tuah filem Melayu pertama terbitan Studio Jalan Ampas dalam format warna-warni Eastman Colour.

Selain P Ramlee, filem epik ini juga dilakonkan Saadiah, Ahmad Mahmud, Haji Mahadi, Nordin Ahmad, Saamah, S Kadarisman dan Siti Tanjung Perak.

Filem ini membolot trofi Skor Muzik Terbaik pada Festival Filem Asia 1956 di Hong Kong selain menyertai Festival Filem Berlin Ketujuh tahun yang sama dan menerima pencalonan Golden Bear. Antara lagu merdu dalam filem ini adalah Berkorban Apa Saja dan Joget Pahang.

3. Anakku Sazali (1956)

P Ramlee dianggap pencetus terawal ‘dual role’ atau dwiwatak dalam sejarah filem Melayu. Dengan kehebatan lakonannya serentak sebagai seorang ayah penyayang dan anak derhaka, P Ramlee akhirnya menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia 1957 di Tokyo.

Anakku Sazali yang juga arahan Phani Majumdar turut dibintangi Zaiton, Nordin Ahmad, Hashimah Yon dan Rosnani Jamil. Lagu merdu dalam filem ini adalah Itulah Sayang, Joget Si Pinang Muda dan Istana Cinta.

4. Semerah Padi (1956)

Satu-satunya filem klasik Melayu arahan P Ramlee yang mengetengahkan hukum hudud dan tema cukup Islamik. P Ramlee memegang watak sebagai Aduka, Saadiah (Dara) dan Nordin Ahmad (Taruna).

Bahasa filem Semerah Padi dianggap ada pengaruh filem klasik Jepun, Rashomon arahan Akira Kurosawa. Babak paling mendebarkan ialah Galak (Normadiah), isteri orang yang dihukum disula kerana berzina.

Antara lagu menarik termasuk Sekapur Sireh Seulas Pinang, Semerah Padi dan Lenggang Kangkung.

5. Sergeant Hassan (1958)

Dengan plot bertumpu kepada penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada era Perang Dunia Kedua, Sergeant Hassan diarah dengan cemerlang oleh P Ramlee bersama Lamberto Avellana.

Turut membintangi filem ini ialah Saadiah, Salleh Kamil dan Jins Shamsuddin. Filem iini dianggap satu penghormatan kepada Rejimen Askar Melayu Diraja. Lagu merdu daripada filem ini tidak lain daripada Tunggu Sekejap.

6. Pendekar Bujang Lapok (1959)

Ini adalah filem kedua dalam siri Bujang Lapok lakonan trio P Ramlee, Aziz Satar dan S Shamsudin. Pendekar Bujang Lapok mengisahkan tiga bujang terlajak - Ramli, Ajis dan Sudin pergi berguru seni silat dengan Wak Mustarjo sambil cuba memikat anak gadisnya, Rosmah (Roseyatimah).

Dengan genre lucunya, Pendekar Bujang Lapok menggondol anugerah Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia 1959 di Kuala Lumpur. Lagu popular dalam filem ini adalah Malam Bulan Di Pagar Bintang, Maafkan Kami dan Pok Pok Pok Bujang Lapok.

7. Nujum Pak Belalang (1959)

Pastinya lakonan Bat Latiff sebagai budak kampung cerdik (Belalang) yang mahu menyelamatkan nyawa ayahnya, seorang tok nujum palsu (P Ramlee), sentiasa diingat penonton.

Ia juga karya unggul kerana meraih trofi Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia 1960 di Tokyo. Filem ini dimantapkan dengan lakonan humor Hashimah Yon, Habsah Buang, Ahmad Nesfu dan Shariff Dol.

8. Antara Dua Darjat (1960)

Kritikan sosial bahawa darah itu sama warnanya menjadi tema Antara Dua Darjat lakonan P Ramlee (Ghazali) dan Saadiah (Ungku Zaleha). Filem ini bukan sahaja menonjolkan lakonan berkesan oleh pasangan sepadan itu malah bintang lain seperti S Kadarisman, Yusof Latiff, Kuswadinata, Ahmad Nesfu dan Rahimah Alias. Lagu evergreen yang menghantui filem ini tentunya Getaran Jiwa dan Alunan Biola.

9. Ibu Mertuaku (1962)

Siapa boleh menidakkan kehebatan cinta Kassim Selamat dan Sabariah Mansor? Siapa pula boleh menafikan hipokrasi Nyonya Mansor terhadap anak menantunya sendiri? Ibu Mertuaku seharusnya menjadi antara filem terbaik P Ramlee, Sarimah, Mak Dara, Zaiton, Ahmad Mahmud dan Zainon Fiji.

Babak paling sadis tidak lain daripada tusukan garfu oleh Kassim ke matanya sendiri dek tidak tertahan melihat sandiwara palsu manusia di sekelilingnya. Filem ini diperindahkan lagi dengan lagu Jeritan Batinku, Jangan Tinggal Daku dan Di Manakan Ku Cari Ganti. Hasil kerjanya, P Ramlee dianugerahkan The Most Versatile Talent pada Festival Filem Asia di Tokyo pada 1963 menerusi filem ini.

10. Madu Tiga (1964)

Kekecohan tiga madu, Latifah (Zaharah Agus), Hasnah (Jah Mahadi) dan Rohani (Sarimah) menjadi tulang cerita bagi karya popular arahan serta lakonan P Ramlee ini.

Madu Tiga sekali lagi membuktikan ketokohan Seniman Agung di kerusi pengarahan genre komedi apabila diiktiraf sebagai Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia 1964 di Taipei. Lagu popularnya termasuk Madu Tiga dan Selamat Pengantin Baru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 5:18 AM