AFP

Leicester: Claudio Ranieri (gambar) mengaku impiannya berkubur selepas dipecat pengurus Leicester dalam tindakan yang dianggap kejam sehingga mengundang kecaman masyarakat bola sepak terhadap pemilik kelab dari Thailand.

Ranieri dipecat selepas tidak sampai dua minggu pemilik kelab berkenaan menyatakan ‘sokongan tidak berbelah bagi’ meskipun berdepan dengan keputusan mengecewakan yang menyaksikan Leicester hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Pengurus Liga Perdana termasuk Jose Mourinho dan Jurgen Klopp melahirkan rasa kecewa dengan tindakan itu dan menyokong Ranieri yang bulan lalu dipilih jurulatih terbaik FIFA kerana melakar satu daripada cerita luar biasa dalam bola sepak.

Media British juga mengutuk pemilik Leicester dari Thailand, King Power yang berkata mereka tiada pilihan kecuali menyingkirkan Ranieri.

Pengurus kelab itu digelar ‘ular’, ‘kejam’, dan ‘tidak berperikemanusiaan’ di tengah-tengah laporan yang menyatakan Ranieri kehilangan sokongan pemain senior berhubung taktikal permainannya.

Pengurus popular berusia 65 tahun itu mengakui yang keputusan menyingkirkannya satu tamparan hebat kerana beliau menaruh impian untuk terus kekal di Leicester bagi baki kerjayanya.

“Tapi, semalam impian saya berkubur,” kata Ranieri. “Selepas dimahkotakan juara Liga Perdana musim lalu, apa yang saya impikan adalah untuk terus kekal bersama Leicester City, kelab yang saya sayang buat selamanya. Sayangnya, ia tidak menjadi kenyataan.”

Meskipun berdepan dengan penyingkiran memilukan, Ranieri bertekad untuk tidak berasa kecewa.

“Pengalaman yang saya lalui sungguh menakjubkan dan akan terus kekal untuk selamanya,” katanya. “Terima kasih untuk semua orang di kelab ini, pemain, kakitangan, mereka yang menjadi sebahagian daripada apa yang kami capai.

“Saya tidak akan lupa saat dan kegembiraan itu. Saya berasa sungguh bertuah dan seronok kerana dapat menjadi juara dengan anda semua.”

Mourinho simpati dengan Ranieri selepas disingkirkan Chelsea musim lalu susulan perbalahan dengan pemain bintang dan pengurus Manchester United itu hadir di sidang medianya kelmarin dengan huruf CR pada baju latihannya sebagai tanda hormat terhadap jurulatih Itali itu.

“Nama Stadium Leicester patut ditukar kepada ‘Claudio Ranieri’,” kata Mourinho. “Tapi orang itu dipecat.”

Pengurus Liverpool Klopp turut bingung dengan keputusan itu, menganggapnya sama tahap seperti Brexit dan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat.

“Bagi saya wujud beberapa keputusan pelik. Brexit, Trump, Ranieri. Adakah saya faham - sudah tentu tidak,” katanya. “Saya tidak faham kenapa Leicester buat sebegini.”

Leicester hanya menang lima daripada 25 perlawanan liga mereka musim ini dan masih tidak menjaringkan sebarang gol pada 2017 selain tersingkir daripada saingan Piala FA kepada kelab bahagian tiga, Millwall.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:06 AM