ANAK buah Bilic berdepan Spurs dalam saingan Piala Liga, awal pagi Khamis ini.
ANAK buah Bilic berdepan Spurs dalam saingan Piala Liga, awal pagi Khamis ini.

SIAPA selepas Ronald Koeman?

Itulah persoalan yang timbul selepas pengurus kelahiran Belanda itu dipecat oleh Everton, pagi semalam.

Berdasarkan kedudukan dan prestasi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Slaven Bilic mungkin menjadi pengurus yang seterusnya bakal dipecat selepas West Ham dikatakan sudah memulakan langkah mencari penggantinya.

Keadaan itu timbul selepas prestasi buruk skuad The Hammers yang tewas lima kali dalam sembilan perlawanan musim ini termasuk mengalami kekalahan memalukan 0-3 kepada Brighton, Sabtu lalu sekali gus sekadar menduduki tempat ke-16.

Jurulatih berusia 49 tahun itu kini boleh dikatakan sedang menghitung hari di West Ham dengan skuad berkenaan bakal berdepan Tottenham Hotspur dalam saingan Piala Liga, awal pagi Khamis ini.

Jika perkara itu terjadi, Bilic bakal menjadi pengurus EPL keempat dipecat selepas Frank de Boer (Crystal Palace), Craig Shakespeare (Leicester City) dan Koeman.

De Boer dipecat hanya selepas lima perlawanan dan 77 hari membimbing skuad The Eagles.

Selepas itu, Leicester City pula mengambil tindakan sama apabila memecat Shakespeare yang sempat berkhidmat selama empat bulan sebagai pengganti Claudio Ranieri.

Koeman pula menjadi jurulatih terbaru dipecat selepas skuad kendaliannya tewas 2-5 kepada Arsenal kelmarin dan tempatnya kini diambil alih sementara oleh jurulatih skuad bawah 23 tahun Everton, David Unsworth.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 11:26 PM