Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Bekas Penolong Jurutera Pembangunan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dua tahun lalu.

Tertuduh, Syed Ahmad Izzuddin Syed Abdullah, 34, yang kini bekerja sebagai penolong jurutera Jabatan Kerja Raya daerah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Syed Ahmad selaku ejen MAIDAM ketika itu didakwa mengelirukan atau memperdaya akauntan Unit Kewangan MAIDAM, Norhana Yaakub dengan mengemukakan butiran tuntutan palsu bernilai RM6,400 untuk pesanan kerajaan bagi kerja baik pulih surau iaitu pemasangan karpet di Surau Al-Hijrah di Lot Perpindahan Tok Adis di sini.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat MAIDAM pada 29 Disember 2015.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shahida Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Nik Radhia Nik Ya.

Mohamad Haldar kemudian menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 1:30 PM