Zatul Iffah Zolkiply


PEMBANTU tadbir kewangan dan pembantu akauntan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas dakwaan menipu dengan mengemukakan dokumen invois palsu berjumlah RM37,879.

Tertuduh, Mohd Amir Hafizudin Zakaria, 31, dan Wan Saiful Kudri Che Wan Ahmad, 38, membuat pengakuan itu ketika 34 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu penolong akauntan, Zaipah Ramli dengan cara mengemukakan dokumen invois palsu bagi kerja-kerja membekal, memasang alat ganti dan penyelenggaraan kenderaan jabatan milik UniSZA berjumlah RM37,879.

Kesalahan itu dilakukan antara Oktober hingga Disember 2019.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh melapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Ain Mohd Rani dan Nik Mohd Radhia Nik Abd Ghani.

PEMBANTU tadbir kewangan dan pembantu akauntan UniSZA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
PEMBANTU tadbir kewangan dan pembantu akauntan UniSZA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 1:48 PM