Oleh Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu di Pejabat JKM Mersing, pada Oktober 2013.

Tertuduh, Syed Mohd Abdul Ghani Syed Ali, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Oktober 2013 antara 8 hingga 11 pagi di Pejabat JKM Mersing, dekat sini, dengan niat sebagai Pegawai JKM hendak memperdayakan majikan.

Tertuduh didakwa mengemukakan satu dokumen pesanan kerajaan bertarikh 24 September 2013 bagi membekal pakaian seragam untuk Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan JKM Mersing berjumlah RM5,000.

Ia mengandungi butiran palsu serta tertuduh juga mengakui barangan dipesan itu sudah diterima.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 12:03 PM