Helmy Abd Rahman


DUA minggu lalu, Noormazida Mukhtar, 28, bersama suaminya, Mohd Fikri Izani, 26, didakwa atas enam pertuduhan menipu tuntutan pembekalan telur dan susu berjumlah RM211,646 kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Hari ini, Noormazida sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, kerana didakwa melakukan penggubahan wang haram membabitkan transaksi RM132,277.23.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa terbabit dalam amalan penggubahan wang haram dengan menerima, memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan hasil daripada perbuatan mengemukakan dokumen-dokumen tuntutan palsu berkaitan pembekalan telur dan susu kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ, Kuala Terengganu.

Mengikut pertuduhan pertama, Noormazida didakwa terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram dengan memindahkan RM30,000, hasil aktiviti haram ke akaun bank, JIE Excellent Enterprise milik Mohd Fikri di Maybank Kuala Berang, Hulu Terengganu, 29 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-16, tertuduh didakwa menggunakan wang daripada akaun bank berkenaan di lokasi sama membabitkan transaksi keseluruhan RM102,277.23 antara 4 Mac dan 6 Julai lalu.

Untuk setiap 16 pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegah Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Mohammad Haldar membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM40,000 membabitkan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes 23 Oktober ini.

Noormazida bagaimanapun gagal membayar wang jaminan berkenaan dan ditahan di lokap di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Harian Metro 21 September lalu melaporkan, Mohd Fikri dan Noormazida mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM211,646 untuk tender pembekalan telur dan susu ke HSNZ Kuala Terengganu antara Februari dan Julai lalu.

Suami isteri itu berdepan dua pertuduhan berhubung dakwaan penipuan tender pembekalan susu manakala empat lagi pertuduhan membabitkan tender telur yang sebenarnya tidak wujud mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 4:27 PM
Noormazida (kiri) dituduh antaranya menggunakan hasil daripada perbuatan mengemukakan dokumen tuntutan palsu pembekalan telur kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ, Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak.
Noormazida (kiri) dituduh antaranya menggunakan hasil daripada perbuatan mengemukakan dokumen tuntutan palsu pembekalan telur kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ, Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak.