Mazuki dibawa ke  Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
Mazuki dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
HM Digital

Kuala Terengganu: Seorang pengurus besar sebuah hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan sewaan bas berjumlah RM750.

Tertuduh, Mazuki Husin, 55, membuat pengakuan tidak bersalah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan Pengurus Jualan dan Pemasaran hotel sama, Tina Surinda Abdul Karim, satu resit bertarikh 27 September 2014 sebagai satu dokumen berkaitan perkhidmatan sewaan bas bernilai RM1,400 sedangkan caj sebenar daripada syarikat bas adalah RM650.

Tertuduh didakwa memberikan dokumen yang mengandungi butiran palsu itu bagi tujuan memperdaya pengurus terbabit di sebuah hotel di daerah ini pada 28 September 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Zul Basysyar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:27 PM