TAN Sri Annuar Musa di PWTC. FOTO Mohd Yusni Ariffin
TAN Sri Annuar Musa di PWTC. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mempertikaikan kenyataan akhbar tempatan yang mengatakan beliau akan menentang Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan juga pemilik pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Beliau berkata, setakat ini hanya beliau seorang sahaja yang menghantar borang pencalonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, pertandingan akan berlaku jika ada calon lain yang menghantar penyertaan bagi merebut jawatan Presiden FAM.

"Jika nanti ada calon lain yang turut menghantar pencalonan, maknanya mereka yang menerima hakikat untuk ada pertandingan, jadi ada atau tidak pertandingan itu akan di tentukan bila tiba masanya nanti.

"Soal saya bertanding atau tidak tentunya bukan satu masalah kerana saya dicalonkan oleh persatuan dan jika dikira hanya mendapat dua undi sahaja," katanya menerusi laman sosial Facebook, hari ini.

Annuar berkata, beliau tidak ada sesuatu yang boleh diberikan, jadi bagi mereka yang ingin bertanding jangan terlalu risaukan penyertaannya yang hanya mahu menjadi pelengkap kepada proses demokrasi dalam FAM.

"Setakat ini, saya cuma ada Mat Tere sahaja yang ke depan macam menyokong saya, itu pun kita tahu apa yang terjadi padanya. Saya tidak ada negeri perintah, tidak memiliki pasukan dan tiada sebarang jawatan dalam mana-mana badan gabungan FAM.

"Malah, saya juga tidak ada sumber untuk menukarkan mimpi peminat bola sepak kepada realiti, selain itu saya dianggap orang 'gagal' dan di 'cah keting' (cantas) sebelum wisel ditiup dan pernah direhatkan di luar padang," katanya.

Annuar berkata, sehingga hari ini beliau hanya memperoleh dua undi dan jika sudah mendapat 14 daripada 20 badan gabungan mungkin beliau boleh dianggap sebagai pencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 6:19 PM