ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP
ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Calon Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa mahu kikis sikap berpuak-puak dalam kepimpinan FAM sekiranya terpilih menerajui badan itu.

Beliau menegaskan nekad wujud semangat bekerjasama secara berpasukan dalam kalangan kepimpinan demi pembangunan sukan bolasepak negara.

Untuk itu katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan mana-mana pihak, malah tidak terikat dengan golongan tertentu.

"Suka saya tegaskan, satu misi saya ialah mahu bawa keharmonian, kerja berpasukan dan saling menghormati peranan semua Exco yang dipilih.

"Justeru saya tidak terikat dengan sesiapa dan boleh bekerja dengan sesiapa pun kerana FAM memerlukan barisan kepimpinan yang mampu beri kerjasama sepenuhnya dalam membangunkan bolasepak," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Annuar berkata, beliau juga tidak terkesan dengan kenyataan pihak tertentu yang kelihatan seperti menolak bekerja dengannya kerana perwakilan bebas memilih siapa pemimpin yang difikirkan layak.

"FAM perlu tenang dan kekalkan sifat saling hormat menghormati dan saya tidak akan menekan sesiapa, berkumpulan, sogokan dan juga ugutan.

"Saya percaya badan gabungan bijak membuat pilihan sendiri dan corak mana yang kita mahu dalam menguruskan perjalanan FAM," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan calon Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi yang meminta ahli gabungan untuk tidak mengundinya sekiranya Annuar menjadi Presiden.

Memetik kenyataannya, beliau memberitahu hanya selesa bergandingan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memimpin FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 12:49 PM