ANNUAR pada sidang media, di Sandakan mengumumkan menarik diri daripada bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAM. FOTO/POLIANA RONNIE SIDOM
ANNUAR pada sidang media, di Sandakan mengumumkan menarik diri daripada bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAM. FOTO/POLIANA RONNIE SIDOM
Poliana Ronnie Sidom

BEKAS Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan menarik diri daripada bertanding untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya, keputusan untuk memberi laluan kepada Datuk Hamidin Mohd Amin menggalas jawatan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selain bagi memberi tumpuan ke atas usaha memperkasa UMNO.

Annuar yang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Sabtu ini, berkata beliau merasakan perlu memberi tumpuan tenaga dan masa tidak berbelah bahagi terhadap usaha memulih dan memperkasakan UMNO dalam situasi parti mengalami pelbagai cabaran selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Sebelum ini, saya sudah serahkan borang pencalonan dan adakan ‘roadshow’ dan apabila bertemu dengan TMJ, baginda menasihatkan saya.

“Perkara ini (keputusan tidak bertanding) baru malam tadi (putuskan) selepas melihat rakan-rakan di Sabah begitu bersemangat, Sabah yang besar menjadikan tugas UMNO cukup mencabar.

“Bulan depan Parlimen bersidang dan sebagai pembangkang dalam Parlimen, kita (UMNO) perlu menampilkan saf pembangkang yang konstruktif dan berprestasi tinggi supaya rakyat dapat merasakan suara mereka tidak akan tercicir,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO selepas perjumpaan bersama pemimpin dan ahli UMNO di sini, hari ini.

Sebelum ini, FAM mengesahkan menerima borang pencalonan Annuar, sekali gus menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan Hamidin berikutan penarikan diri Pengerusi Institut Sukan Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang menghantar surat penolakan menerima pencalonan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau berharap perjalanan kongres FAM yang berlangsung Julai ini lancar dan pemilihan untuk lain-lain jawatan dapat dilakukan dalam suasana persaudaraan bola sepak, manakala mereka yang dipilih dalam FAM perlu memainkan peranan memajukan bola sepak negara.

Katanya, bola sepak negara juga memerlukan pelan tindakan yang betul atau ‘blue print’ yang mengandungi perancangan dalam usaha untuk memajukan sukan itu.

“Kita tak boleh capai sesuatu kejayaan jika tiada perancangan yang betul dan ia perlu mengambil kira pihak berkepentingan bukan hanya persatuan, tetapi membabitkan kementerian kerana program pembangunan sukan mesti bermula dari bawah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 1:37 PM