DR Mariani bersama beberapa pakar rumusan dari negara lain di makmal formulasi kosmetik, Paris.
DR Mariani bersama beberapa pakar rumusan dari negara lain di makmal formulasi kosmetik, Paris.
DR Mariani gembira kerana berjaya menghasilkan kajian menggunakan buah tempatan iaitu manggis.
DR Mariani gembira kerana berjaya menghasilkan kajian menggunakan buah tempatan iaitu manggis.
DR Mariani buat kajian mengenai buah manggis hingga hasilkan produk kecantikan sendiri.
DR Mariani buat kajian mengenai buah manggis hingga hasilkan produk kecantikan sendiri.
Rashidah Ibrahim


Pasaran negara kini dilambakkan dengan pelbagai jenama produk kecantikan. Jika dulu, hanya iklan jenama import muncul di kaca televisyen, tetapi kini produk kecantikan tempatan dapat bersaing dengan iklan jenama luar dari segi kekerapan siaran.

Tidak dinafikan usahawan mendapat hasil lumayan daripada jualan produk kepada pengguna yang mendambakan kecantikan, sesetengahnya tanpa risaukan kandungan bahannya. Pengusaha pula tidak mengenal usia, malah golongan muda seawal 20-an pun berjaya menjadi pengeluar.

Tidak hairan jika ia menimbulkan keraguan di hati sesetengah pihak. Sejauh manakah ilmu dan kefahaman pengusaha dalam bidang formulasi bahan produk kecantikan serta kesannya?

Menurut Ketua Penyelidik Kosmeseutikal dan Wangian Institut Pembangunan Bioproduk Universiti Teknologi Malaysia (IBD UTM), Dr Mariani Abdul Hamid, 39, kebanyakan pengusaha di negara ini bergantung kepada pihak lain untuk membuat kajian. Produk kosmetik mereka dihasilkan di kilang berstatus GMP yang diberi hak oleh kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan membantu usahawan berminat mengeluarkan produk di bawah jenama sendiri.

Kilang itu menawarkan perkhidmatan secara kontrak pengilangan atau OEM melalui kerjasama pintar antara usahawan dan pengilang dalam menghasilkan produk berdasarkan formulasi, kajian dan bahan mentah yang diperakui lebih awal.

Dr Mariani antara penyelidik sahih yang bertungkus-lumus berada di makmal membuat uji kaji, menghasilkan ekstrak bahan, mengambil bahan aktif daripada ekstrak sumber, melakukan pemisahan bahan tidak dingini, mengadun serta membuat apa yang perlu dalam proses formulasi bahan kecantikannya, juga menguji keberkesanan produk ke atas sel manusia.

Dia mengeluarkan produk hasil daripada kajian makmal di UTM sebagai lanjutan kepada penyelidikan peringkat pengajian kedoktoran (PhD) di sebuah universiti di Korea, empat tahun lalu. Dengan kelayakan akademik dan kemampuan membuat uji kaji sendiri, ia memberi lebih keyakinan kepada pelanggan menggunakan produk yang dikeluarkan.

Mengenai latar belakang pengajian, Dr Mariani berkata, dia bermula dalam bidang pengajian Kejuruteraan Kimia di UTM dengan kelulusan di peringkat ijazah sarjana muda pada 1999, diikuti Sarjana Kejuruteraan Bioproses (2007), juga di UTM sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan Biokimia

di Universiti Dongguk, Seoul, Korea pada 2012.

Di peringkat pengajian kedoktoran selama tiga tahun, beliau mengkhusus dalam penyelidikan formulasi bahan kecantikan dengan memilih buah tempatan iaitu manggis sebagai sumber penyelidikannya. Ia menjadi asas kajian yang kemudian mendorong dirinya untuk terus membuat penyelidikan sehingga berjaya menghasilkan produk kecantikan sendiri dikenali DERMAGs. Pertemuan dengannya ditemani suami, Dr Wan Rosli Wan Sulaiman, 39, membincangkan banyak perkara berkaitan isu produk kecantikan.

Apakah pandangan Dr Mariani mengenai lambakan produk kecantikan tempatan di negara ini?

Memang ada banyak jenama tempatan di pasaran, kebanyakannya bergantung kepada kepakaran pihak lain untuk melakukan kajian dan penyelidikan. Namun lebih malang apabila mereka sendiri tidak mengetahui tahap keselamatan kandungan bahan yang digunakan. Masalah timbul pada produk yang membabitkan penggunaan bahan kimia berbahaya seperti merkuri, hidroquinon, tritenoin dan seumpamanya kerana ia boleh merosakkan kulit.

Adakah produk yang dikeluarkan oleh syarikat milik usahawan yang bukan arif dalam bidang kecantikan selamat digunakan?

Semua produk yang dihasilkan pada dasarnya wajib mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), walaupun produk daripada bahan apa sekalipun termasuk kimia mestilah pada kadar selamat untuk kegunaan di kulit. Masalahnya di negara ini, penguatkuasaan belum begitu ketat dari segi pemantauan penggunaan bahan dalam produk kecantikan sedangkan peraturan di negara seperti Eropah, Jepun dan Korea sangat ketat. Misalnya sesetengah bahan seperti asid kojic masih diguna berleluasa di negara ini, tetapi diharamkan penggunaannya di negara berkenaan.

Mengapa berlaku produk yang mendapat kelulusan KKM, tetapi kemudian ditarik balik daripada pasaran kerana didapati ada kandungan bahan beracun?

Ia sering berlaku sewaktu penghantaran sampel produk untuk permohonan selamat, tetapi mungkin bahan terlarang dimasukkan kemudian iaitu di peringkat pengilangan. Ini kerana pengguna gemarkan produk yang memberi kesan ketara pada kadar segera, justeru, harus berhati-hati memilih produk.

Adakah produk import berjenama terkenal juga selamat?

Pada dasarnya negara seperti Eropah, Jepun dan Korea sangat ketat dari segi kelulusan. Mereka lebih menjurus kepada penggunaan bahan semula jadi atau organik, jadi rata-rata selamat digunakan terutama produk jenama terkemuka yang selalunya teliti dalam proses pengeluaran.

Jika ada yang menggunakan bahan kimia, ia perlu melalui sokongan pemeriksaan klinikal yang memastikannya selamat pada kulit. Produk jenama terkemuka lumrahnya melalui proses penyelidikan dan pembangunan yang kukuh, justeru harganya mahal berbanding produk di negara ini yang kurang menekankan soal berkenaan lantas ia dijual pada harga murah.

Apakah kesan penggunaan produk kosmetik mengandungi bahan terlarang? Apakah pula perbezaan menggunakan produk bersumberkan bahan semula jadi?

Produk mengandungi bahan terlarang atau beracun memberi kesan segera. Ia mengembirakan pengguna, namun tanpa disedari bahan itu sebenarnya menghakis lapisan kulit yang mengandungi melanin. Pigmen melanin memang membuatkan kulit gelap, tetapi ia penting sebagai pelindung lapisan kulit bawah.

Penggunaan berterusan boleh membuatkan kulit terkopek atau koyak. Apabila lapisan melanin terhakis bermakna permukaan kulit sudah rosak, tiada lagi perlindungan terhadap sinaran UV, justeru, ia sukar dipulihkan. Ini seterusnya mendedahkan lapisan kulit bawah yang sensitif terhadap cahaya. Lama-kelamaan, boleh timbul kesan hitam atau jeragat tebal. Apabila kulit sudah nipis, individu berkenaan pantang terdedah kepada cuaca panas dan sinaran UV bagi mengelak masalah lebih teruk. Kesan paling menakutkan apabila ia boleh menyebabkan keradangan dan kanser kulit.

Maksudnya, produk berasaskan bahan kimia berbahaya tidak bertindak mencantikkan kulit secara semula jadi, sementara penggunaan sumber alam bertindak dengan cara memulihkan iaitu menggantikan sel lama dengan yang baru serta merawat secara semula jadi dari dalam.

Bagaimana memastikan sesuatu jenis dan jenama produk itu bebas daripada penggunaan bahan terlarang dan selamat?

Pengguna boleh membuat semakan sendiri dengan merujuk kepada laman sesawang National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) yang menyenaraikan produk disahkan mempunyai bahan beracun dan dilarang, http://npra.moh.gov.my/ dan semak di bawah tajuk kosmetik.

Mengenai bidang kajian, mengapa Dr Mariani memilih kecantikan dalam penyelidikan peringkat pengajian kedoktoran?

Negara kita sememangnya kekurangan pakar dalam bidang formulasi bahan untuk rawatan kecantikan, yang ada pakar dari segi pememeriksaan dan pemulihan kulit, tetapi tidak dalam pengeluaran bahan untuk produk. Kerana itu, saya pilih bidang ini untuk penyelidikan kedoktoran di Universiti Dongguk, Korea.

Sewaktu di sana, saya mendapat tunjuk ajar dan diselia oleh Prof Park Chang Seo yang ketika itu berusia hampir 70 tahun, tetapi saya kagum kerana dia nampak sangat muda. Beliau ialah pakar dalam bidang ilmu kecantikan dan dermatologi yang juga Ketua Pusat Penyelidik di NCR, Korea. Justeru, saya mendapat orang yang paling layak untuk memantau kerja penyelidikan saya.

Ceritakan pengalaman sewaktu membuat uji kaji penyelidikan. Mengapa pula memilih universiti di Korea?

Sebelum ke Korea, saya sudah putuskan untuk membuat kajian terhadap bahan tempatan. Saya bawa 13 ekstrak herba termasuklah kacip fatimah dan tongkat ali. Disebabkan dua produk ini pernah dibuat kajian, jadi saya pilih manggis untuk penyelidikan.

Saya memilih Korea kerana pakarnya lebih maju dari segi teknologi dan pembangunan industri produk kecantikan dan teknologi formulasi bahan.

Apakah keistimewaan manggis pada pandangan Dr Mariani?

Laporan jurnal sebelum ini mengatakan manggis mengandungi nilai antioksidan tinggi, boleh merawat penyakit, perangsang kepada sistem daya tahan (imun) manusia dan mempunyai nilai antipenuaan. Selain buah tempatan, saya yakin mesti ada kelebihan jika ekstrak manggis digunakan sebagai bahan utama dalam formulasi produk kecantikan. Apabila kita makan, kulitnya dibuang begitu saja jadi lebih baik jika ia dikaji dan dimanfaatkan.

Apakah hasilnya?

Kajian ke atas keseluruhan ekstrak manggis gagal mencapai matlamat saya. Penyelia menyifatkan penemuan itu sebagai ‘memberangsangkan’ dan meminta saya meneruskan kajian untuk kegunaan ke atas orang berkulit putih, tetapi saya tidak berpuas hati.

Beberapa kali saya cuba, tetapi hasil ujian ke atas sel manusia didapati semua­nya serupa, yang terhasil sel manusia menjadi warna gelap. Penyelia meminta saya teruskan penyelidikan untuk kegunaan orang Caucasian (bangsa berkulit paling putih). Ini kerana ada orang putih suka kulit gelap. Saya tidak mahu kerana matlamat asal saya mahukan kesan pencerahan untuk orang kita.

Saya tidak putus asa, terus melakukan penyelidikan dengan membuat proses pembahagian bahan aktif (kompaun) yang terkandung dalam keseluruhan ekstrak berkenaan. Ekstrak manggis mengandungi 11 kompaun fitokimia, antaranya Alpha-Mangostin, Beta dan Gama. Setelah diasingkan dan diuji, perkara yang agak mengejutkan, satu daripadanya iaitu Alpha Mangostin jika diuji secara biokimia ke atas kulit dapat mengurangkan penghasilan pigmen melanin, seterusnya mencerahkan kulit.

Kompaun yang lain semuanya menggelapkan kulit. Apabila Alpha-Mangostin bercampur dengan semua kompaun lain, ia juga menyebabkan sel kulit bertukar gelap (kesan sinergistik). Justeru, saya teruskan kajian terhadap bahan aktif Alpha-Mangostin saja dengan membuat ujian ke atas sel haiwan dan manusia, didapati ia sangat bagus untuk mencerahkan kulit dan membantu sel kulit menghasilkan lebih banyak kolagen.

Bila pula Dr Mariani mula mengusahakan produk sendiri?

Selesai pengajian kedok­toran pada 2012 di Korea, saya pulang ke Malaysia dan mengajar di UTM. Dalam pada itu, saya sempurnakan proses penyelidikan saya terhadap bahan manggis. Di sini saya membuat ujian ke atas 50 individu dan ternyata produk yang dihasilkan daripada bahan Alpha-Mangostin berupaya memberi kesan pencerahan kepada kulit wajah. Apabila benar-benar yakin dengan hasil penyelidikan itu, barulah saya keluarkan produk pada 2014. Produk itu dikenali sebagai DERMAGs yang kini sudah tiga tahun di pasaran.

Apakah yang membanggakan Dr Mariani dalam penyelidikan produk ini?

Saya gembira apabila produk DERMAGs yang mengandungi bahan aktif Alpha-Mangostin (Alpha-MAGsT) berjaya memenangi beberapa anugerah emas dan perak dalam pertandingan reka cipta sama ada di dalam dan luar negara. Antaranya pertandingan Seoul International Invention Fair (SIIF) di Korea, Industrial Art And Technology Exhibition (INATEX), Industrial Design And Technology Exhibition (ITEX) dan Anugerah Bio Innovation di Malaysia. Bertambah gembira dan bangga apabila UTM menyokong usaha saya sehingga kami berjaya menzahirkannya dalam bentuk produk dan berkongsi manfaat dengan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 6:16 AM