Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Dermis terdiri daripada 70 peratus kolagen. Fungsi kolagen ialah membantu memperbaiki tekstur kulit selain meningkatkan daya elastiknya.

Kolagen tambahan diperlukan terutama apabila melepasi usia 25 tahun kerana ketika ini pengeluaran jumlah kolagen semula jadi dalam badan berkurangan secara perlahan-lahan.

Apabila proses penuaan berlaku, kedutan dan garis halus mula kelihatan di sekitar mata disebabkan kekurangan kolagen serta kelembapan.

Pengerusi Amaranth Co Ltd Korea, Choi Chan-Ki berkata, selain kedutan, tompokan coklat, cela dan sel kulit mati akan meningkat.

"Mencegah adalah cara yang terbaik selain mengambil kolagen tambahan untuk menggantikan kolagen yang berkurangan. Selain itu, amalan pengambilan makanan yang sihat juga penting dalam mendapatkan kulit yang gebu.

"Perubahan hormon boleh menyebabkan kulit menjadi sensitif dan membantu meningkatkan pertumbuhan jerawat. Selain itu, amalan diet yang berlebihan juga boleh menyebabkan kerapuhan kulit dan mempercepatkan proses penuaan," katanya.

Tambahnya, selain diet seimbang kita juga perlu menjalani rutin penjagaan wajah secara berdisiplin untuk membantu mengekalkan kesihatan kulit muka.

Memahami kepentingan memilih rangkaian penjagaan wajah yang sesuai, syarikat itu memperkenalkan produk kecantikan premier Sorabee.

Penyelidik jenama berkenaan sedar, mereka perlu melakukan usaha yang berkesan bagi membantu wanita mahupun lelaki memiliki kulit licin dan sihat hanya melalui penggunaan rangkaian penjagaan wajah.

"Kami menemui kolagen tapak sulaiman yang mengeluarkan bahan menyerupai gam yang memegang sel di bawah epidermis. Justeru, ekstrak kolagen daripada tapak sulaiman adalah pelindung ideal untuk kulit yang terdedah kepada pelbagai elemen kurang menyihatkan saban hari.

"Semuanya bermula apabila ramai nelayan mengalami kerugian besar disebabkan kehadiran tapak sulaiman pada jaring mereka, sekali gus menghalang tangkapan ikan.

"Kebiasaannya, nelayan mengasingkan dan membuang tapak sulaiman kerana beranggapan ia tiada nilai. Justeru, pihak penyelidikan dan pembangunan kami membeli tapak sulaiman itu dan mengekstrak kolagen daripada bahagian luarnya untuk dipatenkan," katanya pada majlis pelancaran produk berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Urusan K Beautyzone Sdn Bhd, Chow Hoong Kit dan selebiriti termasuk Vanidah Imran, Julie Woon serta Roax Tan.

Tambah Choi, kolagen tapak sulaiman dikatakan berkesan kerana boleh menembusi lapisan dalam kulit untuk membantu memberi kelembapan, menghalangnya daripada kekeringan dan melindungi kesan pencemaran.

Bukan hanya mengambil kebaikan tapak sulaiman, malah rangkaian produk kecantikan jenama berkenaan turut diformulasi daripada bahan organik dan mesra alam yang membantu mengembalikan ketegangan kulit, mengurangkan kedutan serta meningkatkan keanjalan melalui formulasi unik Teknologi Tindakan Intensif Tiga S.

Antara bahan gabungan yang ditemui hasil kajian selain tapak sulaiman ialah air dasar laut dan ekstrak hidupan laut unik, Porphyridium cruentum (plankton).

Teknologi yang digunakan itu juga dapat membantu melindungi dan memperbaiki ton kulit menjadi lebih sekata, sekali gus mengurangkan garis halus sekitar mata.

Ia menggantikan rawatan kecantikan melalui penggunaan vitamin kompleks supaya kulit sentiasa bersedia melawan sinaran ultra ungu (UV) dan proses penuaan.

Produk berharga antara RM55 hingga RM100 itu sesuai untuk lelaki dan wanita. Kini ia boleh didapati di cawangannya di Main Place USJ 21/10, The Mines, Quill City Mall, Kuala Lumpur; Taiping Mall, Perak; Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya dan Gurney Plaza, Pulau Pinang.

Sorabee Malaysia turut menawarkan empat siri penjagaan kulit yang mudah dan bersesuaian dengan pelbagai jenis kulit antaranya Balancing Series untuk kulit yang mengalami dehidrasi, lesu atau keletihan.

Anti-Wrinkle Series dicipta khas untuk mereka yang ingin memiliki kulit tegang, lembap dan kelihatan lebih muda daripada usia sebenar. Rangkaian Whitening Series pula membantu merawat kulit kasar, pigmentasi, letih dan tekanan manakala Homme Series adalah penyelesaian untuk kulit lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:00 AM