Nadzreen Shah Mat Salim


Semenyih: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) lelaki berusia 20 tahun yang hilang di Bukit Broga, di sini, sejak Ahad lalu, ditambah kepada 104 orang membabitkan pelbagai agensi berkaitan.

Antara yang terbabit dalam operasi itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bantuan Mencari Menyelamat di Gunung (MOSAR), Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) dan Unit Anjing Pengesan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih Zainal Elias berkata, operasi hari ini terpaksa dimulakan jam 10 pagi berikutan hujan.

Katanya, pencarian meliputi tiga kawasan dari Bukit Broga ke Gunung Tok Wan, Taman Tasik Semenyih ke Gunung Tok Wan dan Kampung Asli Kahcu Dalam ke Gunung Tok Wan.

"Sehingga petang semalam, masih belum ada sebarang petunjuk kedudukan mangsa dan keadaan ini menimbulkan keresahan bukan saja kepada ahli keluarga malah kumpulan yang terbabit dalam tugas pencarian.

"Apa yang membimbangkan daripada keterangan rakannya, mangsa tidak membawa sebarang bekalan makanan dan hanya berpakaian baju T, berseluar jeans dan berselipar," katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, Mohd Azarul Mukhris Abd Rahman mendaki Bukit Broga bersama lima rakannya jam 4 petang.

Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Pantai Merdeka, Kedah itu gagal dikesan selepas sampai ke puncak bukit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 1:03 PM