OPERASI SAR rmencari remaja hilang di Bukit Broga memasuki hari keempat operasi tertumpu di cerun sekitar kawasan puncak.
OPERASI SAR rmencari remaja hilang di Bukit Broga memasuki hari keempat operasi tertumpu di cerun sekitar kawasan puncak.

Semenyih: “Sudah dua hari kami bermalam di sini dan hati saya kuat mengatakan anak saya itu masih hidup dan dia berada di atas sana (puncak bukit Broga). Mungkin dia disembunyikan (makhluk halus). Ini semua ketentuan Allah SWT,” luahnya Rohana Saad, 49.

Dia jelas masih tabah menantikan anaknya, Mohd Azarul Mukriz Abd Rahman, 20, yang dilaporkan hilang di Bukit Broga pada petang Ahad lalu ditemui semula.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemuda terbabit yang memasuki hari keempat, semalam dipergiatkan lagi di kawasan cerun puncak Bukit Broga.

“Perkara ini sukar dijelaskan dan kami percaya anak kami masih ada. Cuma kami tidak dapat mengesan dan melihatnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Zainal Elias berkata, operasi mencari dan menyelamat ditambah kepada 120 anggota membabitkan pihak bomba, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahan Malaysia (APM), Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) dan Unit Anjing Pengesan.

Menurutnya, operasi bermula jam 8.00 pagi semalam turut dibantu beberapa Orang Asli dan lebih 30 pendaki Pasukan Bantuan Mencari Menyelamat di Gunung (MOSAR).

Dia berkata, esok (hari ini) adalah hari terakhir operasi akan dijalankan dan pihaknya akan mengulangi pencarian mangsa di kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang dan pasukan penyelamat sudah membuat pencarian di seluruh kawasan Bukit Broga sehingga ke Gunung Tok Wan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 6:01 AM