Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki hilang di Bukit Broga memasuki hari ke empat dengan tambahan 120 anggota dari PGA, APM, STORM dan Unit Anjing Pengesan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki hilang di Bukit Broga memasuki hari ke empat dengan tambahan 120 anggota dari PGA, APM, STORM dan Unit Anjing Pengesan.
Nadzreen Shah Md Salim


Kajang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja hilang di Bukit Broga memasuki hari ke empat dengan dipergiatkan lagi di cerun sekitar kawasan puncak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih Zainal Elias berkata anggota yang terbabit dalam SAR ditambah kepada 120 orang membabitkan pegawai dan anggota dari pihak bomba, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahan Malaysia (APM), Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) dan Unit Anjing Pengesan.

Menurutnya, operasi hari ini bermula 8 pagi tadi turut dibantu beberapa Orang Asli dan lebih 30 pendaki Pasukan Bantuan Mencari Menyelamat di Gunung (MOSAR).

"Hari ini, pencarian mangsa dimulakan di kaki bukit dan terus ke bahagian cerun di puncak bukit.

"Kami mengulangi pencarian mangsa di kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang dan pasukan penyelamat sudah membuat pencarian di seluruh kawasan Bukit Broga sehingga ke Gunung Tok Wan," katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, Mohd Azarul Mukhris Abd Rahman mendaki Bukit Broga bersama lima rakannya jam 4 petang.

Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Pantai Merdeka, Kedah itu gagal dikesan selepas sampai ke puncak bukit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 3:18 PM