ANGGOTA bomba mendengar taklimat ketika SAR sebelum menemui Teoh (gambar kecil) dalam keadaan selamat, hari ini. FOTO ihsan bomba dan pembaca.
ANGGOTA bomba mendengar taklimat ketika SAR sebelum menemui Teoh (gambar kecil) dalam keadaan selamat, hari ini. FOTO ihsan bomba dan pembaca.
Nor Azizah Mokhtar


SELEPAS hampir 18 jam, seorang akauntan wanita yang dilaporkan sesat ketika memanjat Bukit Broga di Kajang untuk beriadah, akhirnya ditemui dalam keadaan selamat, hari ini.

Pasukan penyelamat terdiri daripada pasukan bomba, polis dan sukarelawan yang melakukan pencarian sejak petang semalam dikatakan menemui mangsa di kawasan Bukit 18 berhampiran puncak Gunung Tok Wan, pada 9 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Penolong Penguasa Bomba Zainal Elias Abdul Aziz, ketika dihubungi berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang berusaha untuk membawa mangsa turun dari lokasi dia ditemui.

“Sejak operasi SAR dimulakan petang semalam, anggota penyelamat tidak berhenti untuk melakukan pencarian sehinggalah mangsa ditemui pagi ini.

“Wanita itu ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan dan usaha membawa turun mangsa dijangka mengambil masa kira-kira empat jam,” katanya.

Mangsa, Teoh Kim Ling, 38, berasal dari Saujana Putra, Puchong dikatakan memanjat bukit berkenaan secara bersendirian bermula 10.30 pagi semalam dan dilaporkan tersesat daripada laluan berhampiran puncak Gunung Tok Wan.

Teoh dikatakan sempat menelefon kakaknya memberitahu dia tersesat sebelum kakaknya menghubungi talian kecemasan melaporkan perkara itu.

Pasukan bomba yang menerima laporan kejadian pada 3.12 petang, menugaskan dua pegawai dan tiga anggotanya untuk melakukan pencarian dengan dibantu anggota polis dan anggota sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 9:50 AM