SITI Rahmah (kiri) cuba menghalang pergerakan pemain Ireland.
SITI Rahmah (kiri) cuba menghalang pergerakan pemain Ireland.
MALAYSIA Tigress raih naib juara selepas tewas kepada Ireland.
MALAYSIA Tigress raih naib juara selepas tewas kepada Ireland.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Impian skuad hoki wanita negara untuk terus melakar sejarah bergelar juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia tidak kesampaian apabila tewas kepada Ireland 0-3.

Biarpun tewas skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah melakar sejarah tersendiri apabila meraih tiket automatik ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia buat kali pertama.

Layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia dianggap cukup bermakna buat negara ketika tiada sasaran tinggi diletak kepada pasukan Malaysia Tigress yang menduduki ranking ke-21 dunia.

Bagi Dhaarma apa yang dilakarkan oleh anak didiknya cukup bermakna kerana sebelum ini begitu ramai memperlekehkan kemampuan mereka malah ada yang mengganggap pasukan wanita negara adalah pasukan kelas kedua.

“Kejayaan hari ini berjaya membuka mata banyak pihak yang sebelum ini langsung tidak pandang kewujudan pasukan negara.

“Mereka berjaya membuktikan kemampuan dan peluang untuk beraksi di pusingan akhir adalah cerah yang mana 16 terbaik akan layak ke Piala Dunia 2018 di London,” katanya.

Ireland lebih menguasai permainan apabila meledakkan dua gol pada suku pertama pada final di Stadium Tun Razak, semalam.

Mereka membuka jaringan pada minit ketujuh menerusi jaringan padang Anna O’Flanagan.

Malaysia bagaimanapun berpeluang untuk menyamakan kedudukan dua minit selepas itu apabila dihadiahkan pukulan penalti namun gagal disempurnakan oleh Noraini Rashid.

Serangan pantas Ireland ke kubu negara pada minit ke-10 gagal dikekang barisan pertahanan menyaksikan gawang negara dirobek buat kali kedua oleh Kathryn Mullan.

Memasuki babak kedua, Ireland terus garang menyerang menyaksikan skuad kendalian Graham Show dihadiahkan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Zoe Wilson pada minit ke-36.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 10:44 AM