PEMAIN Malaysia, Hanis Onn (tiga kiri) meraikan jaringan gol kedua dan penyamaan bersama rakan pasukan ketika menentang Itali di Stadium Tun Razak. FOTO Owee Ah Chun
PEMAIN Malaysia, Hanis Onn (tiga kiri) meraikan jaringan gol kedua dan penyamaan bersama rakan pasukan ketika menentang Itali di Stadium Tun Razak. FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki wanita negara mencipta sejarah apabila meraih slot ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia buat kali pertama.

Mereka melakukannya selepas mara ke pentas final Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia dengan menewaskan Itali menerusi penentuan penalti 2-1, di saingan separuh akhir, hari ini.

Skuad negara akan bertemu Ireland pada aksi final, esok.

Terdahulu, skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengheret perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Razak ke penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 tamat permainan sebenar.

Dua pasukan yang mara ke final Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia akan layak beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang dijadualkan berlangsung pada Jun di Belgium dan Julai di Afrika Selatan.

Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia adalah sebahagian daripada kempen kelayakan untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di London.

Maria Garraffo meletakkan Itali di depan hasil jaringan padang minit ke-10 sebelum Fazilla Sylvester Silin menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-13.

Itali kembali di depan selepas Agata Wybieralska menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-18.

Hanis Nadiah Onn menyamakan kedudukan minit ke-26 hasil jaringan padang.

Selepas tamat permainan sebenar yang berakhir 2-2, perlawanan kemudian ditentukan menerusi penentuan penalti yang kemudian dimenangi oleh skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 11:31 PM