PEMAIN  hoki wanita negara  Nor Haslinda Ali (tengah) diasak pemain Ireland  Roisin Upton.
PEMAIN hoki wanita negara Nor Haslinda Ali (tengah) diasak pemain Ireland Roisin Upton.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hasrat skuad hoki wanita negara untuk meraih kemenangan ke atas Ireland tidak kesampaian selepas tewas 1-2 pada perlawanan peringkat Kumpulan B, Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia semalam.

Ireland yang menduduki ranking ke-16 dunia memberi tekanan awal kepada skuad negara apabila memperoleh pukulan sudut penalti seawal minit kedua, namun ia disia-siakan begitu saja.

Bagaimanapun kapten Ireland Chloe Watkins berjaya meletakkan pasukannya di depan selepas menjaringkan gol padang minit kelima.

Tersentak dengan jaringan awal itu, skuad negara menggandakan asakan dan akhirnya memperoleh pukulan sudut penalti seminit kemudian, tetapi ia gagal menghasilkan gol penyamaan.

Malaysia Tigress terus berusaha untuk mencari gol penyamaan sehinggalah memperoleh dua lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-20 dan 25, namun penyudah yang kurang mantap terus mengecewakan mereka.

Ireland berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-39 selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti, tetapi set piece mereka gagal menghasilkan gol.

Minit ke-42 giliran skuad negara pula memperoleh pukulan sudut penalti, namun ia juga gagal menghasilkan gol penyamaan.

Anna O’Flanagan menjadikan kedudukan 2-0 untuk Ireland menerusi jaringan padang minit ke-52.

Skuad negara mempamerkan semangat melawan selepas Hanis Nadiah Onn merapatkan jurang minit ke-54 hasil gol padang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 11:47 AM