Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Seorang remaja dipercayai lemas di sebuah tali air di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Aiman Zikri Muliadi, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan, keluar bersama tiga rakannya untuk ke tali air itu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip berkata, mangsa dipercayai ke tali air terbabit untuk melihat orang menahan pukat.

"Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air sebelum ditolak arus deras.

"Gerakan mencari dan menyelamat mangsa sudah digerakkan pada jam 2.30 petang membabitkan beberapa agensi penyelamat," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 3:42 PM