ANGGOTA penyelamat menemui jasad Muhammad Aiman Zikri.
ANGGOTA penyelamat menemui jasad Muhammad Aiman Zikri.
BAPA mangsa ditenangkan anggota polis.
BAPA mangsa ditenangkan anggota polis.
Mohd Zulhairie Manzaidi dan Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Penemuan dua mangsa lemas di Kampung Kenjing, Repek, di sini dan Wakaf Bharu, Tumpat, semalam menjadikan jumlah korban banjir di Kelantan sejak awal Januari lalu mencecah lima orang.

Ketika gelombang banjir pada minggu pertama Januari, tiga kanak-kanak berusia lapan, 10 dan 12 tahun lemas, masing-masing ketika melihat banjir, mengayuh basikal dalam banjir dan tergelincir ketika bermain air banjir.

Dalam tragedi semalam pula, Ahmad Iman Farhan, 12, ditemui lemas oleh penduduk kampung selepas bermain air banjir dalam parit air di Jalan Kubur, Kampung Kenjing pada jam 10.20 pagi manakala enam jam selepas itu, seorang remaja pula ditemui lemas di tali air dekat Kampung Dusun Langgar, Tumpat selepas dikatakan cuba menyelamatkan adik rakannya yang hanyut dibawa arus.

Sebelum itu, Muhammad Aiman Zikri Muliadi, 13, bersama rakan, Mohamad Nasrudin Jamaluddin,13, dan adik Mohamad Nasrudin, Mohamad Irfan Ikbal, 10, ke tali air berkenaan untuk melihat orang memukat ikan ketika banjir.

Datuk kepada Ahmad Iman, Mohd Zain Hussin, 61, berkata, cucunya meminta kebenarannya untuk keluar melihat air banjir pada jam 10 pagi bersama rakan.

“Saya izinkan kerana menyangka dia hanya mahu melihat banjir, sambil turut menasihati supaya berhati-hati kerana ada parit air yang digali penduduk untuk tanaman kelapa di situ.

“Tapi beberapa minit kemudian, rakannya datang ke rumah memberitahu cucu lemas yang membuatkan saya terkejut. Beberapa hari sebelum itu, arwah ada menyebut mengenai parit itu sambil menggelarnya tempat bahaya dan boleh bawa maut.

“Tak sangka apa yang disebut-sebutnya itu menjadi kenyataan dan korbannya adalah dia,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Muhammad Aiman Zikri dihanyutkan arus deras pada jam 1 tengah hari ketika cuba menyelamatkan Mohamad Irfan Ikbal dan ditemui pasukan penyelamat pada jam 4 petang.

Bapanya, Muliadi Mohamad, 46, berkata, dia sangat bersyukur mayat anak sulung daripada empat beradik ditemui dan reda dengan segala ketentuan Ilahi.

“Saya terima semua ini dan tahu Allah SWT menarik kembali Aiman kerana lebih menyayanginya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:22 AM