Pemuda maut selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah kereta Proton Saga di Jalan Kampung Ana, Tumpat kira-kira 7 malam tadi. FOTO ihsan Info Semasa Tumpat (IST)
Pemuda maut selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah kereta Proton Saga di Jalan Kampung Ana, Tumpat kira-kira 7 malam tadi. FOTO ihsan Info Semasa Tumpat (IST)
Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta dalam kemalangan di jalan Kampung Ana, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam tadi menyebabkan mangsa, Mohammad Ikram Muzakir, 20, parah di kepala dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tumpat.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Zaharuddin Rasip berkata, sebelum kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha dari arah Chabang Empat menuju ke Meranti.

"Tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai membuat pusingan U secara tiba-tiba, namun gagal mengelak kereta Proton Saga dipandu wanita berusia 24 tahun dari arah sama kerana jarak dekat.

"Akibatnya, motosikal mangsa melanggar tepi kanan kereta dan mangsa terjatuh serta cedera, manakala pemandu wanita tidak alami kecederaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan dan mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 12:38 PM