Pasukan SAR melakukan pencarian kanak-kanak yabng dikhuatiri lemas di FELCRA Teratak Batu, Pasir Puteh hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Pasukan SAR melakukan pencarian kanak-kanak yabng dikhuatiri lemas di FELCRA Teratak Batu, Pasir Puteh hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KANAK-KANAK lelaki berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam tali air ketika mengikut bapa saudaranya memasang pukat di FELCRA Teratak Batu, Pasir Puteh hari ini.

Mangsa, Mohammad Ilham Hasmadi dikatakan berada di atas titi kayu sebelum terjatuh ke dalam tali air berkenaan pada 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketika itu bapa saudaranya sedang memasang pukat.

Menurutnya, arus tali air berkenaan sangat deras ketika kejadian berikutan hujan pada waktu itu.

“Bapa saudara mangsa kemudiannya meminta bantuan penduduk kampung untuk membantu mencari mangsa.

“Mereka menghubungi polis pada 6.45 petang dan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Seramai berjumlah 40 pasukan SAR terbabit dengan dibantu kira-kira 50 penduduk kampung,” katanya.

Menurutnya, operasi terpaksa dihentikan pada kira-kira 10 malam ini berikutan keadaan gelap dan akan bersambung pada 7 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 11:48 PM