MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan Bomba
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


Pontian: Lelaki maut, manakala lima murid sekolah rendah cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 91.3, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, Abdul Razak Jamari, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Benut ke Rengit di sini, cuba mengelak kenderaan lain yang keluar dari simpang di sebelah kanan.

"Lori berkenaan yang mengelak ke kanan jalan masuk ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan MPV membawa lima orang murid sekolah rendah dari arah Rengitke Benut.

"Akibat kemalangan itu, pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, dua murid sekolah yang cedera ditahan dalam wad Hospital Pontian, dua lagi dihantar ke hospital di Johor Bahru dan seorang lagi dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat.

Menurut Zakaria, polis kini sedang mengesan pemilik lori berkenaan memandangkan pemandunya meninggalkan tempat kejadian sejurus kemalangan berlaku.

Katanya, mangsa yang maut bekerja sebagai pegawai keselamatan di Pasir Gudang, namun ketika kejadian dia menghantar lima murid berkenaan ke sekolah mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 4:05 PM