KENDERAAN yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
KENDERAAN yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Ibrahim Isa


DUA maut manakala seorang lagi parah apabila Perodua Myvi dan Perodua Axia bertembung di Kilometer 53.2 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat berhampiran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pontian, 3.11 petang, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai penumpang Perodua Axia, Nur Fazira Yusof, 27, dan pemandu Perodua Myvi, Goh Jia Chien, 17.

Manakala pemandu lelaki Perodua Axia dikenali sebagai Abdul Halim Othman, 24, parah dan mendapatkan rawatan di Hospital Pontian.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, hasil siasatan mendapati, Perodua Axia dalam perjalanan ke Johor Bahru dari arah Pontian manakala Perodua Myvi dari arah bertentangan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Myvi itu cuba memintas kenderaan lain di kawasan garisan berkembar.

"Malangnya, pemandu Perodua Axia dari arah bertentangan tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-dua kereta bertembung dengan pemandu Perodua Myvi itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemandu dan penumpang Perodua Axia parah dan dihantar ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Malangnya, katanya, Nur Fazirameninggal dunia pada 7.21 malam ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan akibat pendarahan di kepala.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 9:39 PM