Keadaan sederet rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal yang musnah terbakar di Jalan Alsagoff Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Keadaan sederet rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal yang musnah terbakar di Jalan Alsagoff Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Togi Marzuki


Pontian: Seorang pesara polis mengalami kerugian kira-kira RM 120,000 apabila kedai yang disewa sejak lapan tahun lalu musnah terbakar di Jalan Alsagoff di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.47 petang itu, Tik Mohd Aton, 70, bersama isteri Normah Adam, 65, selamat walaupun rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal itu musnah terbakar.

Lebih dikenali Sarjan Tik yang menjalankan perniagaan kelengkapan haji dan umrah itu berkata, dia sedih apabila semua barangan kelengkapan berkaitan dijilat api.

"Ini adalah lokasi kedua kejadian kebakaran berlaku selepas mengalami kejadian sama di Lorong Cendol 10 tahun lalu di bandar ini.

"Kejadian pertama pada Ramadan 2007 iaitu 10 hari sebelum menjelang Aidilfitri, terkini berlaku pada Ramadan keempat pula," katanya.

Bapa kepada enam anak dan 15 cucu berkata, ketika kejadian dia bersama isteri sedang berada di kedai menguruskan jubah yang baru diterima melalui tempahan di ruang pameran.

Katanya, tiba-tiba terhidu bau hangit diikuti asap tebal memenuhi ruang niaga sebelum mereka bergegas keluarga menyelamatkan diri.

"Api merebak dengan begitu cepat memusnahkan 10 rumah kedai.

"Namun saya reda dengan apa yang berlaku dan akan berusaha berniaga semula," kata yang tinggal di Taman Cahaya, Jalan Parit Masjid di sini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Azhar Abd Jalil, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.47 petang.

Katanya, pihaknya menggunakan empat jentera bersama 30 anggota termasuk dari BBP Pontian Baru, Pekan Nanas, Jalan Alsagoff, Benut dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Benut.

Azhar berkata, kebakaran itu membabitkan 10 rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal dan mengakibatkan 80 peratus kemusnahan dan tiada kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku.

"Kebakaran berjaya dikawal sehingga kira-kira jam 6 petang dan punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan, " katanya.

#kw pesara, polis, rugi, kedai, terbakar, Pontian

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 2:13 PM