PENJAGAAN gigi susu perlu diberikan perhatian sama seperti gigi kekal.
PENJAGAAN gigi susu perlu diberikan perhatian sama seperti gigi kekal.
Siti Nadirah Hafidzin

Gigi bersilang,tidak tersusun cantik, berlubang, berwarna kuning dan sering diejek rakan sebaya, antara masalah berkaitan gigi yang membelenggu ramai kanak-kanak di bangku sekolah.

Masalah gigi itu bukan saja memberi tekanan hebat kepada kanak-kanak malah menyebabkan mereka berasa rendah diri untuk berdepan dengan khalayak atau lebih membimbangkan, tidak mahu ke sekolah atau bergaul dengan rakan.

Menurut pakar pergigian dan ortodontik kanak-kanak Dr Aziz Ahmad, hakikatnya setiap manusia mempunyai dua fasa pertumbuhan gigi iaitu gigi susu dan gigi kekal.

“Gigi susu berjumlah 20 batang manakala gigi kekal 32 batang. Secara fizikalnya gigi susu berwarna putih, bersaiz lebih kecil, mempunyai lapisan enamel dan dentin yang nipis, tetapi lapisan pulpa yang besar,”katanya.

Manakala gigi kekal pula berwarna sedikit kuning atau krim, bersaiz lebih besar dan mempunyai lapis enamel serta dentin yang tebal, tetapi lapisan pulpa lebih kecil.

“Semua 20 batang gigi susu kanak-kanak biasanya tumbuh sedikit jarak manakala gigi kekal tumbuh sebelah menyebelah dan rapat.

“Gigi susu keluar dari gusi kanak-kanak seawal usia enam bulan dan menjelang usia mereka dua hingga tiga tahun, semua 20 batang gigi susu akan muncul dari gusi mereka.

“Pada usia anak menjelang enam tahun, bermulalah tempoh apabila gigi susu mula patah dan tercabut secara semula jadi dan gigi kekal akan tumbuh menggantikan gigi susu,” ujarnya.

Dr Aziz berkata, fenomena gigi susu patah dan gigi kekal tumbuh menggantikan gigi susu terus berlaku sehingga mereka berusia 12 hingga 13 tahun.

Fungsi gigi susu

Menurutnya, gigi susu tidak ubah seperti gigi kekal yang anda miliki apabila ia membantu mengoyak, menggigit, mencengkam serta melumatkan makanan.

“Jadi ia berperanan membantu proses penghadaman dan nutrisi pemakanan anak. Namun dari aspek lain, gigi susu penting bagi penampilan diri untuk meningkatkan rasa kepercayaan diri anak anda,” katanya.

Kata Dr Aziz, sekiranya tidak percaya, pernahkah anda rasa malu untuk senyum, bercakap dengan kawan-kawan apabila gigi anda rongak serta berbau busuk pada zaman kanak-kanak dulu?

“Secara tidak langsung, gigi susu turut membantu aktiviti sosial anak anda seperti kemahiran bercakap dan bergaul dengan kanak-kanak yang lain.

“Gigi susu juga sebenarnya membantu mengekalkan ruang dan mengatur susunan gigi susu kekal. Ini kerana di bawah akar setiap gigi susu terdapat gigi kekal.

Menurutnya, sekiranya gigi susu patah sebelum masa, ini menyebabkan gigi belakang daripada gigi yang luruh tadi bergerak ke hadapan mengisi ruang yang kosong itu.

“Akibatnya, ini menyempitkan ruang yang ada dan apabila gigi kekal tumbuh, ia tidak mempunyai ruang yang cukup. Akhirnya ia tumbuh sama ada di belakang atau di hadapan menjadikan gigi berlapis. Gigi berlapis bukan saja kelihatan tidak cantik, malah menyebabkan plak mudah terkumpul di kawasan yang berlapis,” ujarnya.

Ini seterusnya meningkatkan risiko gusi bengkak (gingivitis) dan karies gigi serta masa dan kos rawatan juga lebih tinggi untuk rawatan ortodontik.

Kesan memandang remeh kesihatan gigi susu:

- Karies gigi

- Gusi bengkak

- Menjejaskan pemakanan dan penghadaman makanan

- Sakit gigi

- Menjejaskan percakapan

- Gigi berlapis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 4:52 AM