DR SHARIF (dua dari kiri) menunjukkan proses mengambil madu kelulut.
DR SHARIF (dua dari kiri) menunjukkan proses mengambil madu kelulut.
Mohamad Hussin


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan memba­ngunkan produk ‘super food’ madu kelulut yang diproses melalui pelbagai peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Super food ialah makanan kaya nutrien yang sangat bermanfaat untuk kesihatan dan kesejahteraan manusia. Ia merujuk kepada sumber segar atau makanan yang sudah diproses.

Dalam keadaan semasa, produk super food di pasaran mempunyai nilai dan harga tinggi berbanding sumber super food segar seperti buah raspberri, ceri, teh hijau dan sebagainya.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diberi tanggungjawab menerusi pembangunan penyelidikan bagi membuktikan madu kelulut mempunyai testimoni dan dibuktikan secara saintifik.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, madu kelulut antara komoditi yang diberi perhatian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Menteri (Ahmad Shabery) mahu madu kelulut dijenamakan sebagai super food pertama Malaysia, manakala di peringkat antarabangsa pada tahun depan.

“Menerusi penyelidikan nanti, MARDI akan membabitkan beberapa aktiviti penyelidikan untuk menilai super food berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara penyelidikan ialah melakukan pemilihan madu yang tinggi khasiat antioksidan (mengikut kawasan penternakan), pembangunan teknologi pemprosesan dan pembangunan produk madu kelulut.

“Produk super food madu kelulut juga akan melalui ujian keselamatan dan keberkesanan. Antaranya, ujian terhadap tahap haemoglobin dalam darah dan ujian penurunan kadar gula dan kolesterol dalam darah.

“Penyelidikan pe­nyerapan bahan antioksidan dan perencatan sel barah juga akan dikaji membabitkan beberapa aktiviti penyelidikan,” katanya.

Sharif berkata, madu kelulut dihasilkan lebah kelulut iaitu sejenis lebah yang bersaiz kecil. Biasanya kelulut akan membina sarangnya di akar atau tunggul pokok di permukaan tanah.

“Warna madu kelulut biasanya lebih jernih dan cair berbanding madu lebah dan mempunyai rasa masam-masam manis. Kuantiti madu yang diperoleh daripada penuaian setiap sarang juga lebih rendah berbanding sarang lebah biasa.

“Secara umumnya bahan utama dalam madu ialah karbohidrat, protein, asid amino, vitamin, mineral dan antioksidan serta bahan lain seperti asid organik dan hidroksimetilfurfural.

“Madu kelulut pula biasanya mempunyai kandungan fruktosa, glukosa, maltosa dan sukrosa yang lebih rendah berbanding madu biasa,” katanya.

Menurutnya, kandungan Hydroxymethylfurfural (HMF) iaitu bahan yang terbentuk apabila madu disimpan lama atau dipanaskan dalam madu kelulut pula rendah (kira-kira 1.0 mg/kg).

“Asid fenolik, sejenis bahan antioksidan mudah serap juga hadir dalam madu kelulut dan kandungannya lebih tinggi berbanding madu tempatan atau madu import.

“Antara asid fenolik yang dijumpai dalam madu kelulut ialah asid benzoik, asid fenilpropanoik, asid 4-hidroksibenzoik, asid 4-hidroksifenil asetik, asid vanilic, asid protokatechuik dan asid p-koumarik.

“Bahan ini mempunyai pelbagai kegunaan, antaranya asid p-koumarik mempunyai aktiviti antoksidan yang tertinggi diikuti dengan asid protokaechuik dan seterusnya asid vanilik,” katanya.

Katanya, asid p-koumarik dipercayai boleh mengurangkan risiko barah perut dengan mengurangkan pembentukan bahan nitrosamine (karsinogen).

“Asid fenilpropionik iaitu sejenis bahan utama madu kelulut mungkin boleh mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2), sejenis enzim terbentuk semasa perkembangan barah usus besar.

“Bahan ini juga efektif dalam menurunkan tahap kolesterol dalam plasma dan hati serta trigliserida dalam darah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 5:36 AM