Mohamad Hussin

Kelestarian lebah sangat penting kerana spesies lebah madu, kelulut atau tunggal adalah agen pendebungaan yang menyambung rantaian ekosistem alam.

Berkurangnya populasi lebah akan menjejaskan pendebungaan menghasilkan sumber makanan dalam rantaian ekosistem yang turut menjejaskan kehidupan manusia sejagat.

Inisiatif My Bee Savior atau penyelamat lebah kelulut antara usaha Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan kelestarian lebah.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata, inisiatif itu ditubuhkan pada 2015 menerusi Facebook apabila pengusaha lebah kelulut menyatakan hasrat menyelamatkan haiwan itu daripada dihapuskan pihak keselamatan menerusi aduan kes sarang lebah yang terdapat di bangunan dan ruangan awam.

Bermula daripada itu, katanya, inisiatif terus bergerak untuk menyelamatkan sarang lebah daripada dibakar begitu saja. Kegiatan ini dinilai dan diangkat sebagai satu inisiatif yang lebih luas.

“Oleh itu, kami memberi jenama baru sebagai MY Bee Savior - Penyelamat Lebah Malaysia, inisiatif ini dilebarkan lagi objektifnya bukan hanya memindahkan lebah dari kawasan kediaman.

“MY Bee Savior menyasarkan objektif utama meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan kelestarian lebah. Untuk mencapai objektif ini, aktiviti kempen kesedaran awam dalam pelbagai bentuk, saluran dan kumpulan sasar dirancang untuk dilaksanakan.

“Dari media sosial ke program setempat, untuk golongan muda dan kanak-kanak, semuanya dirangka supaya masyarakat turut serta dalam inisiatif ini untuk membantu ke arah kelestarian lebah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Lebah Sedunia Peringkat MARDI dan Pelancaran Inisiatif My Bee Savior di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MARDI Dr Rozhan Abu Dardak dan Pengarah Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

MOHAMAD Roff (tengah) dan Rozhan (dua dari kiri) melawat gerai pameran.
MOHAMAD Roff (tengah) dan Rozhan (dua dari kiri) melawat gerai pameran.

Mohamad Roff berkata, inisiatif ini akan membantu mengurus peningkatan populasi lebah dengan memindahkan haiwan itu dari kawasan kediaman ke tempat yang lebih sesuai.

“Menerusi penubuhan inisiatif ini, MARDI akan meningkatkan potensi komersial dengan mengembang dan memperkasa industri penternakan lebah madu dan lebah kelulut dengan memperkenalkan perkhidmatan pendebungaan daripada lebah serta menambah baik pengeluaran madu tualang selain madu hutan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zabawi berkata, situasi seluruh dunia sekarang ini menunjukkan penurunan populasi lebah yang signifikan.

“Di Barat, mereka kehilangan jutaan koloni lebah akibat fenomena gangguan kemusnahan koloni (colony collapsed disorder) sejak 2007. Sementara di Malaysia, kehilangan besar populasi lebah pernah berlaku sekitar 1996 hingga 1997 akibat serangan penyakit yang tidak dapat dikawal dengan baik ketika itu.

“Pada 2016, ribuan koloni lebah kelulut yang diternak mati akibat fenomena El Nino. Oleh itu, dalam situasi begini, objektif kedua MY Bee Savior sangat penting untuk dilaksanakan iaitu mengurus pemuliharaan dan meningkatkan populasi lebah.

“Aktiviti untuk mencapai objektif ini termasuk menyelamatkan lebah yang bersarang di kawasan kediaman, memperkenal semula lebah di kawasan pertanian yang sudah kehilangan populasi lebah dan menilai ancaman kepupusan lebah selain menilai keberkesanan inisiatif MY Bee Savior itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, apabila populasi lebah dapat dipulihara, potensi lebah dalam nilai komersial boleh ditinjau kembali. Maka objektif terakhir disasarkan ialah mengangkat semula industri lebah untuk potensi komersial.

“Industri penternakan lebah madu pernah menjadi industri yang baik pada 1980-an sebelum ia musnah akibat penularan penyakit berkenaan,” katanya.

PENGUNJUNG mengambil peluang melawat gerai pameran.
PENGUNJUNG mengambil peluang melawat gerai pameran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:45 AM