BERSAMA pembantu beliau ketika menjalankan kajian berkenaan.
BERSAMA pembantu beliau ketika menjalankan kajian berkenaan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Pensyarah Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Nur Azlina Mohd Fahami, 48, ini bukan calang-calang.

Bersama kumpulan penyelidikannya, beliau menjalankan penyelidikan berkaitan madu kelulut nyata menarik perhatian ramai.

Dr Nur Azlina berkata, beliau dan dua pelajar sarjana iaitu Fazalda Annuar serta Quraisiah Adam memilih kajian terhadap madu kelulut tempatan kerana kesannya terhadap perut masih belum diketahui.

Penyelidikan itu turut mendapat geran sebanyak RM97,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kata beliau, madu kelulut juga dipilih kerana kajian lain menunjukkan madu itu mengandungi asid fenolik dan flavanoid yang tinggi dari madu lain.

Ia secara tidak langsung dapat memberikan kesan antioksidan yang tinggi.

"Meskipun kurang popular seperti madu biasa namun tidak ramai yang tahu bahawa madu kelulut sebenarnya memiliki banyak khasiat penting untuk kesihatan tubuh.

"Kandungan antioksidan asid fenolik dan flavanoid dalam madu kelulut dikatakan jauh lebih tinggi berbanding madu tempatan atau kebanyakan madu import.

"Namun, kajian terhadap madu kelulut tempatan masih belum dijalankan meskipun madu dari luar negara sudah menunjukkan kesan yang baik pada sistem gastrousus seperti gastritis dan ulser perut," katanya.

MADU kelulut mengandungi asid fenolik dan flavanoid yang tinggi dari madu lain.
MADU kelulut mengandungi asid fenolik dan flavanoid yang tinggi dari madu lain.

Katanya, kajian terkini mendapati madu kelulut berpotensi merawat ulser perut dan mengurangkan rasa pedih gastrik.

"Kandungan antioksidan asid fenolik mampu membantu mengurangkan asid perut, keradangan perut dan melegakan kesakitan akibat ulser perut.

"Kesan protektif itu disebabkan kehadiran asid fenolik iaitu sejenis bahan antioksidan mudah serap dalam madu kelulut.

"Meskipun ujian klinikal madu kelulut masih dalam peringkat awal namun khasiat madu kelulut sebagai sebagai 'home remidies' untuk melegakan ulser perut diakui di seluruh dunia," katanya kepada Harian Metro.

UJIAN klinikal madu kelulut masih di peringkat awal.
UJIAN klinikal madu kelulut masih di peringkat awal.

Mengulas lanjut Dr Nur Azlina berkata, penyebab ulser perut yang paling biasa adalah disebabkan oleh penggunaan ubat penahan sakit seperti aspirin dan ubat anti radang (NSAIDs), seperti ibuprofen (Advil, Motrin) atau naproxen (Naprosyn) secara berlebihan.

Katanya, ulser perut sering dirawat dengan ubat untuk mengurangkan dan menyekat asid perut, bergantung kepada penyebab ulser.

"Berdasarkan kajian kami, madu kelulut sesuai digunakan untuk menghalang sakit perut serta pembentukan ulser perut akibat pengambilan ubat tahan sakit, " katanya.

Tambah beliau lagi, kajian juga menunjukkan bahawa penggunaan madu kelulut mampu merawat gastritis dan ulser perut yang ringan.

Dr Nur Azlina berkata, rawatan menggunakan bahan semula jadi seperti madu kelulut mempunyai potensi dan perlu diterokai.

Ini kerana ia bukan sahaja mudah diperoleh bahkan tidak mempunyai kesan sampingan yang boleh memudaratkan.

"Tambahan pula, madu kelulut juga boleh diambil terus secara oral sebanyak satu atau dua sudu besar setiap hari atau boleh juga dicampurkan dengan air sebelum diminum.

"Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga mengiktiraf madu kelulut sebagai 'superfood' pertama di Malaysia dan berpotensi untuk dikembangkan," katanya yang turut mengamalkan pengambilan madu kelulut setiap hari.

Menurut Dr Nur Azlina, seorang individu yang mempunyai paras gula dalam darah yang normal, boleh mengambil madu seperti mana-mana pemanis, dengan bonus mungkin dapat melegakan ulser.

DR Nur Azlina dan keluarga ketika melancong ke luar negara.
DR Nur Azlina dan keluarga ketika melancong ke luar negara.

Katanya, salah satu keistimewaan madu kelulut tempatan adalah kandungan gula semula jadi yang dikenali sebagai trehalulose sebanyak 84 peratus dari kandungan gula madu berkenaan.

"Kandungan trehalulose yang tinggi itu dapat membantu pengguna menjaga nilai indeks glisemik yang rendah (GI) yang dapat diserap secara perlahan ke dalam aliran darah selain menghalang daripada peningkatan secara mendadak tahap gula dalam darah.

"Maka ia lebih selamat untuk diambil pada kadar sederhana setiap hari," katanya.

Profil Dr Nur Azlina

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Tembak, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Sains Perubatan Farmakologi dan Ijazah Doktor Falsafah Farmakologi di UKM.

Bermula sebagai tutor, beliau kini salah seorang tenaga pengajar di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan UKM.

Jika mempunyai masa terluang atau mahu melepaskan tekanan kerja seharian, beliau gemar membaca, membeli-belah dan memasak untuk keluarga.

Ibu kepada empat cahaya mata itu juga gemar melancong kerana berpeluang untuk mempelajari dan melawat tempat baharu serta dapat menenangkan fikiran.

"Selain itu, melancong juga membuka minda mengenai sejarah dan kita juga dapat belajar untuk lebih menghargai setiap perkara yang berada di sekeliling termasuk negara sendiri.

" Insya-Allah, jika ada peluang dan rezeki, saya mahu menjejakkan kaki ke bumi Iceland atau Finland suatu hari nanti untuk melihat sendiri keajaiban alam, Cahaya Utara atau Aurora Borealis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 7:01 AM