KEBUN Md Nasir mampu hasil hingga satu setengah kilogram madu kelulut sehari.
KEBUN Md Nasir mampu hasil hingga satu setengah kilogram madu kelulut sehari.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Ramai yang tidak menyedari penternakan kelulut kini dilihat bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, sebaliknya ia mampu menjana pendapatan selain khasiatnya yang bakal dijadikan ‘super food’ tidak lama lagi.

Bagi Kapten (B) Md Nasir Md Zain, 54, menternak kelulut antara yang mempunyai potensi untuk berkembang dan dimajukan.

Ini kerana, katanya khasiat madu lebah kelulut belum diketahui ramai antaranya dikenal pasti sebagai antioksidan.

Menurutnya, mungkin ramai sering mendengar produk madu kelulut, namun ia tidak terkenal seperti madu tualang yang menjadi pilihan penggemar madu sama ada untuk perubatan atau menghasilkan makanan.

“Bertitik tolak sejak tahun 2014 dengan hanya 30 rumah lebah, kini saya mampu tersenyum lebar apabila kebun seluas 0.8 hektar itu menempatkan kira-kira 150 rumah lebah kelulut untuk menghasilkan madu.

“Lebah kelulut ini membuat sarang pada bahagian pangkal pokok, ia juga banyak didapati di kawasan hutan di Sarikei, Miri dan Saratok. Ia dibeli daripada penjual tempatan pada RM100 hingga RM250 bergantung kepada saiznya,” katanya.

Md Nasir berkata, dia bermula dengan 30 rumah kelulut kerana sekadar mahu mencuba namun selepas melihat madu yang dihasilkan itu bernilai tinggi menyebabkannya mengambil keputusan untuk mengusahakan secara serius.

Menurutnya hingga kini, kebunnya mampu menghasilkan hingga satu setengah kilogram (kg) madu kelulut sehari dan boleh mencecah hingga 45kg sebulan.

“Bagi menternak kelulut, seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu supaya madu yang dihasilkan bermutu untuk dipasarkan.

“Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta kerajaan negeri antara agensi yang banyak membantu saya dalam menghasilkan madu kelulut berkualiti tinggi selepas menjalani beberapa siri kajian makmal,” katanya.

Produk berasaskan madu kelulut yang dihasilkan kebun Md Nasir itu menggunakan jenama Serapi Garden sudah melepasi kajian pemantapan kualiti diiktiraf pakar madu universiti berkenaan.

UNIMAS antara agensi kerajaan yang banyak membantunya ketika mula menceburi bidang penternakan kelulut ini dengan memberikan nasihat teknikal berkenaan prosedur tepat untuk menghasilkan madu berkualiti.

Bagi Md Nsir, madu kelulut yang dihasilkan perlu dipastikan tahap kebersihan selain kawasan ternakan dikelilingi pokok dan bunga membolehkan madu berkualiti diperoleh, selain pelbagai pokok herba mempunyai khasiat ditanam kawasan penternakan.

Katanya, melihat potensi harga madu kelulut yang tinggi di pasaran, beliau beranggapan ia antara cara mudah untuk sesiapa saja menjana pendapatan sampingan tanpa perlu mengeluarkan modal besar.

“Harga terkini madu kelulut di pasaran boleh mencecah hingga RM220 seliter dan ia agak sesuai untuk membantu mereka yang masih tercari-cari aktiviti sampingan bagi boleh menambah pendapatan.

“Saya dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan sering mengadakan kursus untuk memperkenalkan penternakan kelulut kepada masyarakat khususnya kepada mereka yang masih tercari-cari aktiviti sampingan menguntungkan.

“Daripada kursus yang diberikan, baru ramai menyedari penternakan kelulut ini mempunyai potensi besar untuk dikembangkan,” katanya yang yakin madu kelulut berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat global dan produk keluaran Borneo ini antaranya yang terbaik dalam kelas tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 6:23 AM