PROSES mengeluarkan madu kelulut dilakukan dengan teliti.
PROSES mengeluarkan madu kelulut dilakukan dengan teliti.
PEKERJA membantu memasarkan produk berasaskan madu.
PEKERJA membantu memasarkan produk berasaskan madu.
KAMIL menunjukkan madu kelulut yang sedia untuk dipasarkan.
KAMIL menunjukkan madu kelulut yang sedia untuk dipasarkan.
Mohd Amin Jalil

Bermula sebagai hobi tetapi selepas menerima sambutan menggalakkan daripada rakan dan masyarakat sekitar, Ahmad Kamil Mohamed, 55, akhirnya mengusahakan ternakan madu lebah kelulut dengan lebih serius.

Dia yang menjalankan projek itu di Kampung Kendong Kota Rembau, Negeri Sembilan, mampu meraih pendapatan lumayan.

Teknologi penternakan lebah kelulut yang diperkenalkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dalam usaha meningkatkan pengeluaran madu itu.

Lebih-lebih lagi, kelulut antara spesies lebah yang tidak menyengat, menjadikan serangga berkenaan mudah dikendalikan berbanding lebah biasa.

“Sebelum ini, saya lebih fokus kepada perniagaan inap desa tapi selepas mendapati khasiat madu kelulut begitu baik dan mendapat permintaan tinggi di pasaran, saya mula mengusahakan penternakan lebah ini.

“Hasil kerjasama dan sokongan ahli keluarga serta rakan selain teknologi dan khidmat nasihat MARDI, saya mengusahakannya dengan lebih serius termasuk menambah jumlah sarang kepada 150 berbanding pada peringkat awal hanya 30 sarang.

“Kini, saya mampu memperoleh hampir dua kilogram (kg) madu daripada setiap koloni lebah kelulut,” katanya ketika ditemui di pusat penternakannya, baru-baru ini.

Ahmad Kamil berkata, lebah kelulut memiliki koloni besar dengan organisasi sosialnya sangat kompleks berbanding lebah biasa.

Menerusi maklumat yang diperoleh daripada MARDI, sehingga kini hampir 33 spesies serangga itu dikenal pasti di negara ini. Antaranya Trigona scaptotrigona, Trigona laeviceps, Trigona apicalis, Trigona thorasica dan Trigona itama.

Katanya, permintaan madu lebah kelulut sangat tinggi di pasaran kerana ia bukan saja untuk dimakan tetapi boleh digunakan sebagai bahan tambahan bagi produk kesihatan dan kecantikan.

“Kesedaran masyarakat mengenai kebaikan madu kelulut termasuk merawat penyakit tertentu, menyebabkan permintaannya meningkat. Pada peringkat awal ramai kurang tertarik kerana produk ini kurang di pasaran.

“Kini, permintaan madu kelulut diterima daripada pelanggan seluruh negara, malah tidak ketinggalan dari luar negara seperti Asia Barat,” katanya yang dibantu ahli keluarga dan empat pekerja.

Ahmad Kamil berkata, madu kelulut daripada bunga-bungaan berkualiti, bukan saja untuk makan tetapi menghasilkan propolis yang boleh dijadikan produk kecantikan lain seperti syampu dan losen.

Katanya, beliau menrternak lebih 150 sarang dan mampu menghasilkan sehingga 100 botol sebulan.

Selain memasarkan madu kelulut, beliau turut menjadi pembekal sarang kelulut kepada pengusaha baru termasuk koperasi berminat.

Katanya, madu kelulut mempunyai nilai tinggi di pasaran dan biasa dijual sehingga RM150 sekilogram manakala sebuah sarang yang lengkap dengan kelulut dijual sehingga RM450.

“Kini ramai berminat menternak kelulut kerana menyedari sambutan daripada orang ramai dan pasaran luar,” katanya.

Ahmad Kamil sedia berkongsi maklumat dengan mereka yang ingin mengusahakan ternakan madu lebah kelulut kerana industri itu berpotensi untuk berkembang.

“Saya berhasrat memasarkan produk madu kelulut ke luar negara tidak lama lagi dan mahu menambah jumlah sarang bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 11:47 AM