Pengunjung boleh menikmati keindahan pantai dari teduhan pepohon ru.
Pengunjung boleh menikmati keindahan pantai dari teduhan pepohon ru.
Pantai Air Tawar sentiasa menggamit rindu pengunjung dengan keindahan suasana tasik dan jambatan yang dibina Majlis Daerah Besut.
Pantai Air Tawar sentiasa menggamit rindu pengunjung dengan keindahan suasana tasik dan jambatan yang dibina Majlis Daerah Besut.
Panorama indah dengan pulau dari pantai melengkung kelihatan seperti bibir gadis.
Panorama indah dengan pulau dari pantai melengkung kelihatan seperti bibir gadis.
D J Dolasoh


Pantai Air Tawar di Besut menggamit rindu apabila ramai pencinta alam dan perantau dari daerah itu yang pulang ke kampung tidak melepaskan peluang mengunjungi pantai peranginan terbersih di Terengganu itu.

Penorama indah di sekitar pantai itu membuatkan pengunjung terasa bagaikan berada di luar negara selepas Majlis Daerah Besut (MBD) melakukan transformasi fizikal sejak beberapa tahun lalu.

Keindahan pusat peranginan ini berbeza dari tempat lain apabila wujud sebuah tasik semula jadi kesan tolakan air laut sejak puluhan tahun lalu sehingga ia sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.

Tasik kira-kira 300 meter panjang dan 50 meter lebar dengan jarak kira-kira 300 meter dari gigi pantai itu dimanfaatkan MDB apabila membina pelbagai kemudahan serta mengubahsuainya sehingga menjadi lokasi menarik dan mempesonakan.

Antara yang menarik ialah jambatan bongkok yang menghubung antara dua daratan serta beberapa jambatan biasa bagi memudahkan pengunjung merakamkan gambar selain kawasan pejalan kaki selamat di sekitar tasik.

Beberapa pondok rehat dan wakaf di sekitarnya termasuk di bawah deretan pepohon ru yang menghadap ke pantai juga dibina, manakala taman permainan kanak-kanak yang luas dan lengkap menarik kunjungan golongan berkeluarga pada sebelah malam.

Pantai Air Tawar yang hanya kira-kira dua kilometer (km) dari pekan Kuala Besut dan 4km dari Pantai Bukit Keluang ini agak unik kerana kedudukannya paling hampir dengan beberapa pulau peranginan terkenal seperti Pulau Perhentian Besar dan Kecil serta pulau lain.

Lebih mengasyikkan, bot nelayan dan pelancongan ke beberapa pulau peranginan itu sering keluar masuk dari muara Sungai Kuala Besut menyebabkan aktiviti laut sentiasa [hidup’ di situ.

Pantainya yang putih bersih dan melengkung bagai bibir gadis serta deretan pepohon ru untuk berteduh sesuai bagi aktiviti perkhemahan dan kekeluargaan sambil menghirup udara nyaman Laut China Selatan.

Sewaktu kanak-kanak penulis sering menyusuri pantai ini kerana tidak jauh dari kampung sambil mengutip karangan laut atau berlari bersama rakan di gigi air dan sesekali mengejar kuda yang dipacu tuannya di tepian pantai pada waktu petang.

Pantai Air Tawar kini terus dimajukan bukan saja dengan pelbagai kemudahan asas disediakan berhampiran seperti hotel, chalet, gerai makanan, astaka, tempat meletak kereta yang luas dan tandas awam tetapi juga dijadikan tapak Pesta Kebudayaan dan Kesenian bagi menyambut kedatangan pelancong ke Terengganu.

Berkunjung ke sini tidak sempurna jika tidak mencecahkan kaki di air tasik atau tepian pantai kerana airnya jernih dan bersih boleh digunakan untuk membasuh peluh di muka atau mencuci tangan.

Pengunjung boleh membeli pelbagai cenderamata yang dijual untuk dibawa pulang selain pelbagai jenis makanan tradisional Terengganu seperti sata, otok-otok, akok, keropok lekor dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 11:51 AM