AKTIVITI menyelam berdekatan chalet.
AKTIVITI menyelam berdekatan chalet.
SEKUMPULAN pengunjung teruja mengadakan aktiviti ‘snorkeling’ bagi melihat ribuan spesies ikan jinak berenang di sekeliling badan.
SEKUMPULAN pengunjung teruja mengadakan aktiviti ‘snorkeling’ bagi melihat ribuan spesies ikan jinak berenang di sekeliling badan.
DI BAWAH jambatan di jeti Perhentian Island Resort juga boleh melihat pelbagai spesies ikan jinak.
DI BAWAH jambatan di jeti Perhentian Island Resort juga boleh melihat pelbagai spesies ikan jinak.
D J Dolasoh


Kejernihan dan ketenangan air laut selain dikelilingi ribuan spesies ikan jinak ketika mandi-manda di Pulau Perhentian, Besut, menjadi faktor pengunjung terus mengunjungi pulau peranginan itu.

Kepelbagaian hidupan marin di situ selain kesesuaian lokasinya menjadikan pusat pelancongan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Besut ini popular dengan aktiviti ‘snorkeling’, perkhemahan dan melihat penyu bertelur.

Pulau Perhentian yang terletak 10.8 batu nautika (20km) ke timur laut Kuala Besut memiliki gugusan pulau iaitu Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Pulau Susu Dara dan beberapa pulau kecil lain menambahkan keindahan alam ciptaan Tuhan ini.

Mengunjungi Pulau Perhentian bersama sekumpulan rakan baru-baru ini bagaikan balik kampung kerana penulis yang berasal dari Kuala Besut sudah lebih 20 tahun tidak berkesempatan memesrai pulau penuh kenangan ketika zaman remaja dahulu.

Pasir putih dan bersih serta landai sesuai untuk perkelahan dan santai seisi keluarga terutama di kawasan Perhentian Island Resort (PIR) sambil menjamu selera di bawah pepohon rimbun dengan dibelai angin Laut China Selatan.

Di Long Beach pula kawasan strategik untuk menyaksikan penyu bertelur jika tiba musimnya selain boleh membeli pelbagai barangan dan cenderahati di banyak kedai serbaneka selepas penat bersiar-siar di tepian pantai.

Di sini juga ada boleh mengintai ikan melalui aktiviti ‘snorkeling’ kerana kawasan air ceteknya luas dan tenang menyebabkan banyak ikan jinak berenang di sini.

Kawasan Taman Laut di Pulau Perhentian pula lokasi menyaksikan pelbagai spesies ikan bersaiz besar, tetapi anda tidak dibenar mengusiknya. Ini kerana populasi ikan di situ sengaja dibiarkan supaya terus menjadi ‘lubuk’ untuk tatapan mata pelancong.

Aktiviti berkenu juga sesuai di sini atau sekadar berada di atas bot untuk melihat spesies ikan dan penyu di dasar laut.

Ia turut menjadi tumpuan pelancong melakukan aktiviti ‘scuba diving’ dan sijil yang dikeluarkan diiktiraf di peringkat dunia.

Keaslian dan keindahan alam sekitar semula jadi yang belum terjejas di Pulau Perhentian termasuk gua, bukit-bukau, hutan dan tumbuhan semula jadi membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan seperti ‘jungle tracking’, penyelidikan dan sebagainya.

Tidak sukar untuk mendapatkan makanan atau penginapan kerana ada ratusan chalet, selain dewan untuk mengadakan bermesyuarat atau sebagainya. Begitu juga pengangkutan untuk melawat dari pulau ke pulau disediakan.

Pengunjung juga boleh bermain-main dengan tupai jinak yang hinggap di batang pokok dan makan di tangan anda.

Dalam perjalanan balik ke Kuala Besut, tidak sempurna jika tidak singgah di Lata Air Berani yang terkenal dengan airnya yang sejuk dari celahan batu bukit termasuk untuk membilas badan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 12:13 PM