PEMANDANGAN mempesona di Teluk Senangin.
PEMANDANGAN mempesona di Teluk Senangin.
Teks dan foto Noor Hidayah Tanzizi


Keistimewaan pantai perkelahan Teluk Senangin, Manjung, Perak mampu mencuri tumpuan pencinta alam yang inginkan suasana perkelahan santai lagi mendamaikan dengan keindahan pantai bercirikan desa.

Kebiruan air laut dan pasir putih ditambah dengan keredupan pohon ru di sepanjang kawasan pantai menjadikan ia lokasi perkelahan paling digemari penduduk setempat.

Teluk Senangin yang terletak kira-kira 32 kilometer (km) dari bandar Sitiawan dengan hutan di sepanjang jalan masuk ke kawasan itu memberi ketenangan kepada pengunjung.

Pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer yang landai sesuai untuk aktiviti kekeluargaan atau perkhemahan.

Menurut sejarah, Teluk Senangin tempat persembunyian dan perkampungan pembesar daripada penjajah dan hasil laut yang banyak dijadikan sumber makanan mereka.

Bersantai seisi keluarga atau secara berkumpulan bersama rakan di sini sangat sesuai kerana kawasannya lapang dan luas menjadi lokasi strategik untuk berehat sambil membuat BBQ dan pelbagai aktiviti lain tanpa mengganggu pengunjung lain.

Pengunjung berpeluang melihat keindahan pemandangan Selat Melaka dan Pulau Pangkor terutama pada waktu petang dan bagi yang meminati bidang fotografi, pantai Teluk Senangin mampu memberikan pemandangan matahari terbenam yang cantik dan tidak mengecewakan.

Pantainya putih bersih dan air laut membiru sering menjadi tumpuan pengunjung kerana lokasinya yang tersorok dari jalan utama mencetuskan kesunyian dan kedamaian hingga tidak hairan ia menjadi lokasi pilihan pengantin baru untuk berbulan madu dan penggambaran album perkahwinan.

Kemudahan asas di pantai ini juga dilengkapi tandas awam, deretan kedai makan, cenderahati dan kawasan tempat letak kenderaan yang luas memudahkan pengunjung.

Bagi yang mahu bermalam, motel dan inap desa turut disediakan dengan harga berpatutan dan jika mahukan cabaran dan keseronokan pengunjung boleh berkhemah di pesisiran pantai dan pastinya angin laut akan membuatkan anda tidur lena sepanjang malam.

Pantai Teluk Senangin juga dianggap syurga pemancing, malah pertandingan memancing kerap diadakan di pantai ini.

Pemancing tidak perlu menaiki bot ke tengah laut kerana pancing boleh dilontar ke pesisiran pantai dan pasti diragut ikan seperti pari, jenahak, kerapu, ketam biru dan ikan daun baru yang agresif kerana badannya yang leper membolehkannya melawan arus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 5:02 AM