(Dari kiri) Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Siti Noor Radiah Ismail, dan Abdul Latif Romly sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 22 September lalu. FOTO Bernama
(Dari kiri) Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Siti Noor Radiah Ismail, dan Abdul Latif Romly sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 22 September lalu. FOTO Bernama
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Empat institusi kebajikan di Kedah, Selangor, Perlis dan Johor ditukar kepada nama empat wira negara yang mengharumkan nama negara pada temasya Sukan Paralimpik Rio 2016.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim berkata, Taman Sinar Harapan Jitra, Kedah kini dinamakan Taman Sinar Harapan Ridzuan Puzi sementara Taman Sinar Harapan di Cheras, Selangor akan dinamakan Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli.

"Di Perlis, Rumah Kanak-kanak Mini di arau akan dikenali Rumah Kanak-kanak Latif Romly manakala Rumah Kanak-kanak Mini di Johor kini dikenali sebagai Rumah Kanak-kanak Mini Siti Noor Radiah Ismail.

"Selain itu, kementerian juga memberi pengiktirafan khas dalam bentuk plak penghargaan kepada empat wira negara ini.

"Penghargaan berkenaan adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan empat wira berkenaan dalam memastikan lagu kebangsaan, Negaraku berkumandang di Rio baru-baru ini," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Sedunia Pemulihan Dalam Komuniti (CBRWC) Kedua di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, dua pemenang pingat emas Mohamad Redzuan Mohammad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli serta pemenang pingat gangsa Siti Noor Radiah Ismail.

Seorang lagi pemenang pingat emas negara, Abdul Latif Romly tidak hadir kerana menghadiri majlis rasmi bersama Raja Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 4:09 PM