Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Hampir 15,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, malam ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan berkata, majlis dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri selaku tuan rumah dan NRES selaku kementerian peneraju.

Katanya, NRES mengetengahkan konsep Raya Lestari sempena penganjuran majlis di peringkat Kelantan.

"Konsep ini juga selaras penekanan kementerian untuk membudayakan masyarakat dengan amalan gaya hidup hijau demi kelestarian alam.

"Ini juga bertepatan kempen digerakkan kementerian yang dilancarkan Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 12 Januari lalu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassurudin Daud serta pengurusan tertinggi kementerian, pegawai-pegawai kanan Persekutuan dan negeri.

Menurut kenyataan itu, amalan kelestarian dipraktikkan adalah dengan tidak menggunakan kutleri dan bekas makanan yang berasaskan plastik, membawa bekas makanan serta minuman sendiri untuk mengelakkan penggunaan plastik sekali guna sepanjang majlis, membuang lebihan makanan di mesin kompos untuk dijadikan baja tanaman dan menggunakan bas yang disediakan bagi mengurangkan jejak karbon.

Katanya, mesej Raya Lestari itu tidak terhad pada Syawal sahaja, malah diteruskan pelaksanaannya ke semua program yang dihadiri dan dianjurkan kementerian.

"la bertujuan sebagai salah satu usaha mendekati masyarakat dalam mendidik dan mengajak seluruh rakyat Malaysia membudayakan kelestarian dalam kehidupan seharian.

"Kementerian berharap melalui penganjuran raya lestari ini ia akan memberi pendedahan kepada seluruh masyarakat supaya amalan lestari sentiasa diamalkan walau di mana sahaja," katanya.

Selain itu, NRES berkata tujuan utama penganjuran Sambutan Aidilfitri Madani adalah untuk memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di samping membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat.

Selain Kelantan, Sabah, Johor dan Melaka, majlis sama akan berlangsung di Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan Terengganu (9 Mei).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 8:53 PM