NAJIB bersama Dr Ahmad Zahid dan Khairy meraikan wira dan wirawati Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 ketika majlis penghargaan di PWTC.
NAJIB bersama Dr Ahmad Zahid dan Khairy meraikan wira dan wirawati Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 ketika majlis penghargaan di PWTC.
myMetro

Kuala Lumpur: Sukan bukan saja mampu menjadi faktor penyatuan bangsa, malah dapat membangkitkan sentimen positif kepada negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kejayaan atlet paralimpik yang mengutip emas di Rio 2016 lalu juga perlu dijadikan batu loncatan untuk negara terus meraih kejayaan lebih besar dalam bidang sukan pada masa depan.

Beliau berkata, kejayaan atlet negara itu sememangnya wajar dijadikan iktibar untuk semua pihak tanpa mengira dalam bidang sukan mahupun arena lain.

“Kita mahu penghargaan terus diberikan kepada mereka (atlet) atas pencapaian yang luar biasa.

“Kejayaan mereka boleh dijadikan rangsangan dan inspirasi, bukan saja sebagai ahli sukan tetapi mengambil kualiti, nilai, pengorbanan, dedikasi, fokus serta komitmen yang ditunjukkan.

“Kalau mereka boleh berjaya dalam sukan, sudah tentu boleh berjaya dalam politik, ekonomi dan lapangan lain,” katanya pada Majlis Penghargaan Wira dan Wirawati Olimpik serta Paralimpik Rio 2016 anjuran UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pada majlis berkenaan, Najib yang juga Presiden UMNO mewakili parti itu menyampaikan penghargaan serta ganjaran khas kepada semua pemenang pingat temasya Olimpik dan Paralimpik Rio lalu.

Pemenang emas Sukan Paralimpik Mohd Ridzuan Puzi, Mohamad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, masing-masing menerima pingat penghargaan dan ganjaran RM30,000 seorang.

Manakala, pemenang pingat perak iaitu Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong; Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan pasangan terjun, Pendelela Rinong-Cheong Jun Hoong masing-masing menerima pingat penghargaan serta wang tunai RM20,000.

Pemenang pingat gangsa Azizulhasni Awang dan Siti Noor Radiah Ismail pula menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta pingat penghargaan setiap seorang.

Selain pemenang pingat, kontinjen ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik turut menerima cenderahati penghargaan khas daripada UMNO.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 8:16 AM